Friday, March 21, 2008

Kenangan bersama Syeikh Wahbah Zuhayli (Tokoh Sunnah)



Antara Ulama terkenal yang hadir di Multaqa Sedunia Alumni Al-Azhar di KLCC baru-baru ini ialah Syeikh Wahbah Zuhayli.Namanya sering disebut-sebut oleh para ustaz saya di Maahad Tahfiz Al-Quran Pulai Chondong.Di rumah saya juga terdapat kitab tafsir Al-Quran ,Tafsir Al-Munir karangan beliau yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu oleh Persatuan Ulama Malaysia (PUM) dengan kerjasama Intel MULTIMEDIA AND PUBLICATION (iMAP).Tafsir ini telah menjadi rujukan utama dalam pengajian tafsir kontemporari.

Tatkala multaqa berhenti rehat untuk makan tengahhari,tanpa diduga saya bertembung dengan ayah saya yang sedang mengiringi Syeikh Wahbah Zuhayli.Lantas saya bersalaman dengan Syeikh Wahbah Zuhayli setelah diperkenalkan oleh ayah saya.Rasa terkejut juga bertemu dengan ulama besar ini buat pertama kali namun ada sesuatu yang lebih mengejutkan lagi.

Malam itu saya turun berseorangan untuk makan malam di tempat yang disediakan khas untuk peserta multaqa di Hotel Traders,KlCC.Ketika sedang khusyuk menjamu makan malam yang cukup enak,mata saya terpandang kepada wajah bercahaya seorang tua yang juga sedang duduk berseorangan menjamu hidangan makan malam.Syeikh Wahbah Zuhayli rupa-rupanya !!.

Saya pada mulanya teragak-agak untuk meluru ke arah beliau memandangkan beliau sedang menjamu selera.Namun bagi saya inilah peluang keemasan untuk bersua muka dengan beliau lantas saya meninggalkan hidangan makan malam saya dan tanpa rasa malu terus duduk di kerusi bersebelahan beliau.

Saya memperkenalkan diri dan terus bersembang-sembang lingkungan 5-10 minit dengan beliau sambil beliau menjamu buah-buahan.Saya sempat
bertanya tentang keadaan tanah air beliau di Damsyik,Syria ,memaklumkan kepada beliau cita-cita saya untuk melanjutkan pelajaran dalam pengkhususan tafsir al-quran,dan tentang tafsir beliau yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu .

Beliau juga seperti berminat untuk bersembang walaupun kelihatan keletihan dengan bertanyakan saya beberapa soalan berkenaan Malaysia antaranya soal cuaca,tentang geografi(sedikit sukar saya terangkan dalam bahasa Arab),mata wang,dan beberapa soalan lain yang menunjukkan minat beliau terhadap negara Malaysia.Maka tidak peliklah belaiu menaruh harapan cukup tinggi agar malaysia menjadi negara Islam moden suatu masa nanti.

Kesempatan bertemu Syeikh Wahbah Zuhayli walaupun sebentar memberikan kenangan yang cukup indah juga satu suntikan motivasi kepada saya agar terus istiqamah berjuang menuntut ilmu seterusnya mengamalkannya lantas memberi manfaat kepada umat keseluruhannya.Hidup sebagai ulama'.Mati sebagai Syuhada'.Insya Allah.

sumber

Yaasin & Tahlil oleh TG Haron Din

Pada hari Sabtu 12 Januari 2008, seramai 41 orang ahli-ahli Darussyifa’ yang diketuai oleh Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din telah mengadakan Solat Hajat dan Majlis Doa Selamat di Tol Jelapang, Ipoh Perak.

Program bermula dengan Solat Maghrib berjemaah diikuti dengan Solat Hajat, Bacaan Yaasin, tahlil arwah serta doa selamat. Sebelum itu iaitu selepas Solat Maghrib, Encik Anuar Marzuki selaku Ketua Pegawai Kewangan PLUS telah mengalu-alukan ahli-ahli Darussyifa’ yang hadir dari Bandar Baru Bangi dan mengucapkan terima kasih di atas kesudian menerima undangan PLUS untuk majlis tersebut..

Menurut Encik Anuar Mazuki, majlis tersebut diadakan adalah sebagai salah satu ikhtiar bagi mengatasi masalah kemalangan jalan raya yang kerap berlaku berhampiran plaza Tol Jelapang.
Kemalangan tersebut kebanyakannya menyebabkan kemalangan jiwa, terutama yang melibatkan bas dan lori. Secara keseluruhan tidak kurang dua puluh kemalangan setiap tahun berlaku di antara terowong dan plaza tol jelapang.

Beliau mengharapkan semoga ikhtiar dengan bacaan Yaasin dan solat Hajat dan berdoa kepada Allah s.w.t., mudah-mudahan Allah s.w.t. mengurniakan keselamatan di kawasan ini dan dijauhkan dari semua bala bencana kemalangan maut.

Pihak PLUS telah membuat pelbagai cara untuk mengatasi masalah kemalangan ini seperti menaikkan taraf terutamanya di kawasan-kawasan yang sering berlaku kemalangan, seperti menambahkan lagi papan-papan tanda, lampu-lampu amaran dan isyarat, namun kemalangan masih berlaku.

Setelah selesai pihak PLUS menyampaikan ucapan aluan, Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din pula memberikan ucapan balas. Berikut adalah inti pati daripada ucapan beliau;

Ucapan Tuan Guru

Darussyifa’ memang selalu mendapat jemputan daripada pelbagai sektor, termasuk sektor kerajaan dan swasta untuk membantu sedikit sebanyak dalam mengatasi atau mengurangkan sesuatu masalah yang dihadapi. Ikhtiar kita ialah dengan bermohon ke hadrat Allah s.w.t.. supaya dikurniakan keselamatan dan dijauhkan serta dielakkan daripada segala perkara yang tidak diingini.


Kita difahamkan bahawa ramai yang telah terkorban di dalam kemalangan jalan raya berhampiran dengan Tol Jelapang ini.

Kita perlu memahami bahawa ajal manusia adalah qada’ Allah s.w.t.. Qada’ atau ketentuan Allah s.w.t. terbahagi kepada dua iaitu pertama “Qada’ Muallaq” dan yang kedua “Qada’ Mubram”.

Qada’ Muallaq ialah ketentuan Allah yang boleh berubah dengan berusaha untuk mengatasinya. Usaha boleh dilakukan untuk mengelak, menjauhkan daripada bahaya kemalangan maut iaitu boleh terlepas daripada qada’ muallaq.

Qada’ Mubram ialah suatu qada’, ketentuan bila sampai ajal mati maka tidak siapa pun yang boleh mengelakkannya. Setiap yang hidup pasti akan mati dan tiada siapa pun yang boleh mengelakkan diri daripada qada’ mubram.

Yang kita hendak ikhtiarkan di sini ialah yang Muallaq, kita bermohon dan berdoa ke hadrat Allah s.w.t. supaya dihindarkan daripada segala bala bencana, kerana nabi ada bersabda yang mahfumnya; “Tiada yang boleh mengubah qada (qada’ muallaq) melainkan dengan doa”.

Bukan doa kita sahaja pada malam ini, saya syorkan kalau boleh seminggu sekali kakitangan PLUS berkumpul sekadar yang ada, pada malam Jumaat sebagai contoh selepas itu sembahyang maghrib berjemaah, kemudian mengadakan tahlil arwah, khususkan tahlil itu kepada arwah yang telah terkorban di dalam kemalangan jalan raya itu. Sekurang-kurangnya kita tahu orang yang terkorban itu adalah Islam.

Orang-orang yang telah meninggal dunia mengetahui jika ada orang yang hidup berbuat baik untuknya. Dia mengetahui siapa yang berdoa untuknya, contohnya dia tahu siapa di kalangan anak-anaknya yang berdoa untuknya. Kalau kita berdoa untuknya, mereka akan tahu. Oleh itu sangat eloklah pihak PLUS mengadakan majlis untuk mereka. Itulah yang Allah sebut di dalam al-Quran dalam surah Al-Hasyr ayat 10;


"Wahai Tuhan kami! ampunkanlah dosa Kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau amat melimpah belas kasihan dan Rahmat-Mu". (Al-Hasyr:10)

Tidak ada keburukan yang menimpa manusia melainkan dengan ikhtiar untuk dielakkan. Satu ikhtiar yang boleh dilakukan ialah kita berdoa beramai-ramai (Doa Jamaie) . Meminta Allah taala menghindarkan segala bala bencana daripada menimpa pekerja-pekerja PLUS dan pengguna-pengguna lebuh raya bukan di sini sahaja tetapi juga di tempat lain yang banyak berlaku kemalangan.

Bila kita berada di sesuatu situasi yang boleh dikatakan kritikal dari segi keselamatan, atau kita hendak menguruskan sesuatu yang berisiko tinggi jangan lupa membaca satu doa pendek yang diajarkan oleh nabi seperti berikut;

ْ
Dengan nama Allah, yang tidak memberikan mudarat sesuatu di bumi juga di langit dan Dia maha mendengar lagi maha mengetahui.

Doa ini jika baca di waktu pagi, insya-Allah sepanjang siang Allah s.w.t. selamatkan daripada sebarang kemudaratan. Kalau dibaca waktu maghrib, Allah selamatkan dia sepanjang malam.

Saya ingin mengesyorkan kepada pihak PLUS, iaitu tuliskan doa ini dengan khat yang elok, diletakkan di tempat yang mudah dilihat, diletakkan di kaunter-kaunter pungutan tol, supaya semua kakitangan yang bekerja bila masuk kerja tidak lupa membaca doa ini.

Amalan ini sangat berguna. Semua kakitangan yang bekerja di sini patut hafal dan amalkan doa ini. Kita bergantung dengan Allah s.w.t., jangan bergantung dengan makhluk, jangan pakai tangkal, jangan pakai azimat, kerana ia tidak mendatangkan kebaikan malah mengundang keburukan. Amalkan doa ini di samping membuat langkah-langkah keselamatan yang sewajarnya.

Dengan keikhlasan dan kesungguhan kita datang beramai-ramai ke sini, untuk bersolat hajat, membaca Yaasin, bertahlil serta berdoa, mudah-mudahan Allah s.w.t. menurunkan rahmat-Nya dengan memberikan keselamatan, kesejahteraan kepada kita semua khususnya pekerja-pekerja di sini.

Akhir sekali diucapkan terima kasih kepada pihak PLUS kerana meletakkan kepercayaan kepada Darussyifa’ untuk datang ke sini bersama-sama untuk berikhtiar membantu.

Berita ditulis oleh:
Ibnu Umar Asseluluni
13 Januari 2008

sumber





Khazanah Februari 2008