Sunday, May 18, 2008

Para Penyebar Islam di Nusantara

Dikatakan seorang bangsa Arab bernama Sheikh Ali Abdullah yang dahulunya tinggal di Patani, mengislamkan raja Kelantan. Pengakuan Perdana Menteri Kelantan, Haji Nik Mahmud Nik Ismail tentang pertemuan mata wang tahun 577 Hijrah atau 1181 Masihi, tulisan dengan angka Arab, juga tertulis dengan huruf Arab sebelah menyebelah mata wang itu masing-masing dengan Al-Julusul Kalantan dan Al-Mutawakkal 'alallah.

Sekitar tahun 1150 Masihi, datang seorang Sheikh dari Patani menyebarkan Islam di Kelantan. Diriwayatkan pula oleh ulama Patani secara bersambung bahawa Islam masuk ke Patani dibawa oleh Sheikh Abdur Razaq dari Tanah Arab. Sebelum ke Patani, beliau tinggal di Aceh hampir 40 tahun.

seterusnya

Ustaz badiuzzaman Said Nursi (video)

Imam Syafie Berguru Kepada Imam Malik (video)

Seminar Al-Ghazali Tokoh Mujaddid


Dijemput ke

http://protajdid.blogspot.com/2008/05/

Tazkirah Kesufian



"هو الذي بعث في الأميين رسولا منهم يتلو عليهم آياته ويزكيهم

ويعلمهم الكتاب والحكمة وإن كانوا من قبل لفي ضلال مبين

الحمعة : 2


Dialah yang telah megutuskan di kalangan orang-orang Arab yang umiyyin,seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan hikmah. Sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.


Makna Ringkas Sufi

Sesetengah orang mengatakan: “Para sufi dinamakan demikian hanya kerana kemurnian (shafa) hati dan kebersihan tindakan mereka (athar).”

Bisyr ibn al-Harits mengatakan: “Sufi adalah orang yang hatinya tulus (shafa) terhadap Tuhan. Ulama lain menyatakan: “Sufi adalah orang yang tulus terhadap Tuhan dan mendapat rahmat tulus dari Tuhan. “

Sebahagian mereka telah mengatakan: “Mereka dinamakan sebagai para Sufi kerana pada baris pertama “shaf” di depan Tuhan, kerana besarnya keinginan mereka di hadapanNya”.

Sesetengah menyatakan: “Mereka dinamakan Sufi kerana sifat-sifat mereka menyamai sifat-sifat orang yang tinggal di serambi masjid (shuffah), yang hidup pada masa Nabi SAW “yang lain-lain lagi telah mengatakan: “Mereka dinamakan sufi hanya kerana kebiasaan mereka mengenakan baju dari bulu domba (shuf).


Nabi Muhamad SAW Contoh Utama

Tidak syak lagi Nabi Muhamad merupakan contoh unggul dalam membicarakan pemikiran sufi dan alamnya. Hidup Rasulullah yang penuh dengan penderitaan, pengorbanan demi menyampaikan risalah Islam ini menggambarkan ciri-ciri kesufian dalam usaha mendekatkan diri kepada Allah.

Hampir semua kitab yang menulis tentang baginda menceritakan bagaimana keadaan rumahtangganya. Bukan sahaja tidak terdapat perabot-perabot yang mewah dan makanan yang enak malah alas tidurnya hanya berbekalkan tikar yang apabila tidur di atasnya, bekasnya terlekat di pipinya. Bukan sahaja sajian roti kering yang dibuat dari tepung kasar dengan segelas air minum, sebutir atau dua butir kurma yang sememangnya telah diketahui umum.

Hadis yang diriwayatkan Al-Bukhari menceritakan bahawa Saiditina Aisyah pada satu ketika mengadu kepada Urwah dengan katanya: “Lihatlah Urwah, kadang-kadang berhari-hari dapurku tidak bernyala..”

Ibnu Masud menerangkan bahawa beliau pernah masuk ke rumah Rasulullah dan didapatinya Nabi sedang berbaring di atas sepotong anyaman daun kurma yang membekas kepada pipinya. Dengan sedih Ibn Masud bertanya: “Ya Rasulullah apakah tidak baik aku mencari sebuah bantal untukmu?”. “Nabi menjawab: “Tidak ada hajatku untuk itu. Aku dan dunia adalah laksana seorang yang sedang bermusafir, berteduh sebentar di kala hari sangat terik di bawah naungan sepohon kayu yang rendang, kemudian berangkat dari situ ke arah tujuan lain yang kekal”.

Dalam sebuah riwayat lain bahawa pada suatu hari Nabi teringat dalam sembahyangnya, bahawa di rumahnya masih tersimpan satu pundi-pundi emas yang belum disampaikan kepada mereka yang berhak menerimanya. Lalu diringkaskan sembahyangnya dan dengan tergesa-gesa baginda pergi membahagi-bahagi sedekah itu kerana baginda tidak ingin sepotong emas pun tinggal di rumahnya.

Terdapat juga dalam cerita bahawa pada suatu hari pernah diletakkan orang di depannya sekaligus tujuh puluh ribu dirham emas. Semua wang itu emas itu seketika itu juga dibahagi-bahagikan dan sebutir pun tidak ada yang tertinggal. Abdul Rahman bin ‘Auf menceritakan ketika Nabi Suci SAW wafat tidak ada yang tinggal padanya kecuali sepotong roti, sebilah pedang, seekor kaldai tunggangan dan sebidang tanah untuk anaknya Fatimah Az-zahra’.

Demikianlah keadaan pemimpin agung dunia ini yang menjadi contoh berzaman untuk membuka mata sahabat dan pengikutnya melihat, apa tujuan sebenar manusia itu hidup. Untuk membuka hati keluarga dan umatnya lebih luas daripada perutnya, daripada mulutnya, daripada mata, hidung dan telinganya, sehingga tubuh yang kasar itu dapat menerima percikan cahaya Ilahi yang lebih tinggi tentang wujud, sehingga dengan demikian dapatlah manusia merasai tujuan hidup yang sementara ini untuk menuju akhirat yang kekal abadi.

Rumahtangganya menjadi contoh, pakaiannya menjadi ikutan, makanannya menjadi teladan dan sabar serta toleransinya pun menjadi panduan.

Zaman Selepas Rasulullah

Golongan sahabat merupakan golongan sufi. Mereka bersama Rasulullah bangun berjuang menentang kekufuran dan kemunafikan. Mereka tidak segan menyatakan pendirian bersama Rasulullah. Merekalah petunjuk sepanjang zaman menerangi alam yang gelap, mewarnai kehidupan manusia menyusun susur atur masyarakat, menjiwai kemurnian yang luhur dan prinsip yang tegar.

Setelah zaman sahabat, munculnya zaman para tabien yang memunculkan ramai golongan yang mempunyai sifat dan personaliti anggun yang mencirikan kehidupan Rasulullah SAW.

Saidina Ali yang namanya begitu dominan dalam silsilah tareqat, bukan sahaja tokoh kezuhudan dan hikmah, malah beliau juga adalah negarawan ulung dan pemerintah dan syahid kerana keadilannya. Surat beliau kepada sahabatnya, Malik Asytar merupakan kod etika bertulis untuk panduan pemimpin negara. Dia adalah wujud yang merealisasikan ‘rahban fi al-lail wa fursan fi an-nahar”

Begitu juga Khalifah Umar Abdul Aziz yang menjadi pemerintah yang mengekalkan kezuhudan walaupun sekelilingnya penuh kekayaan dan kemewahan. Sehingga terdapat kisah yang memperakui bahawa pada waktu tersebut tidak ada seorang pun rakyatnya yang layak menerima zakat lantaran kekayaan dan kemewahan umat. Sungguhpun demikian, style dan cara hidup pemimpin Khalifah Umar Abdul Aziz tidak pernah disebut sebagai pemboros, pengaut kemewahan negara, tidak pernah dicatatkan tentang ketamakan harta, rasuah, penyelewengan wang rakyat, penyalahgunaan harta rakyat dan seumpamanya.

Zaman Moden

Penyakit hubbun dunya dan hubbul jaah telah menjadi satu macam penyakit yang disukai, diburui tanpa menghiraukan dosa dan pahala. Keegoan dalam diri manusia untuk menerima kebenaran juga merupakan penyakit hati yang melanda masyarakat pada hari ini.

Kebejatan sosial, politik dan ekonomi yang melanda kita pada hari ini kadang-kala memberikan kita satu konklusi bahawa lantaran pengabaian terhadap usaha menyucikan jiwa, usaha mengislahkan diri, manusia terkapai dalam medan kehidupan malah seringkali lemas mencari petunjuk kebenaran lantas tersadai di pinggir khayalan.

Apakah ciri-ciri kesufian yang memancarkan jiwa zuhud, qanaah, kesederhanaan, redha, mahabbah, syukur dan sebagainya itu hanya relevan dengan zaman silam yang hanya layak untuk dipaparkan dalam sejarah semata-mata?

Apakah dengan realiti kita pada hari amat sukar rasanya untuk sekurangnya kita mencontohi mereka dalam kehidupan kita? Apakah zaman sekarang tidak relevan untuk membicarakan sufi dan kepentingan tentangnya sedangkan kesufian inilah yang memberikan kegemilangan dan kecemerlangan kepada tamadun umat Islam malah melahirkan jiwa kental, jiwa berani, teguh dan sabar menghadapi penderitaan dan cabaran malah berasa teguh dalam menyelusuri peredaran zaman menongkah arus cabaran.

Apakah zaman kini yang disebut zaman moden amat janggal untuk kita bicarakan kesufian lantaran canggihnya teknologi yang kita miliki, majunya kehidupan duniawi yang kita huni ini. Tetapi dalam masa yang sama umat manusia pada hari ini sedang terkepung dalam bahaya Jahiliyyah abad baru.
Budaya cintakan kebendaan sudah menjadi paparan kehidupan manusia, saban waktu malah setiap detik kita didendangkan dengan alunan pembangunan kebendaan yang tidak segan silu memaparkan personaliti-personaliti mazmumah. Bahkan lebih parah mereka bukan sahaja berbangga dengan corak kehidupan yang ‘maju’ ini malah menuding telunjuk menyatakan pihak lain sebagai penghalang kemajuan, kolot dan pemecah belah umat.

Al-hasilnya dapat dilihat, kemajuan IT, pembangunan kebendaan telah dijadikan alat untuk membina kekayaan secara individu. Yang miskin dan lemah terus terancam. Kemurnian akhlak, keluhuran budi dan tingkahlaku telah dipinggir dan dipisahkan dalam agenda pembangunan.

Tokoh revolusi dan sufi, Abu Dzar Al-Ghifari ketika berteriak di hadapan mahligai mewah Muawiyah, beliau berkata: “Jika istana ini kamu bina dengan hartamu sendiri, kamu berlebih-lebihan. Sekiranya engkau dirikan istana ini dengan harta rakyat sesungguhnya kamu telah khianat.”

Runtuhya institusi politik yang berorientasikan ism-ism hubbun dunya dan hubbul jaah telah dapat kita saksikan kini. Percakaran dan perpecahan sesama mereka menjadi isu yang tidak sudah-sudah penghujungnya.

Sifat mazmumah yang tertanam dalam hati masyarakat bukan lagi perkara baru yang didedahkan. Sifat hasad dengki, tamak, pentingkan diri sendiri adalah paparan cerita yang saban hari menjadi penyakit hati dalam masyarakat.

Lantaran itu seluruh masyarakat dan negara bergelut dengan masalah yang tidak-tidak sudah-sudah jalan penyelesaiannya.

Kegersangan Dunia Moden

Ketika modenisasi datang ada beberapa reaksi kaum muslimin. Pertama kagum dengan modenisasi sehingga mereka mellihat kembali kesesuaian Islam dalam dunia sekarang. Lalu timbullah gejala sekularisme yang memisahkan agama dan politik kerana mereka merasakan hukum Islam sudah tidak relevan.

Kelompok kedua ialah mereka yang menjauh diri daripada apa saja yang bernama kemodenan. Segala bentuk pemodenan dianggap Barat dan jahat. Akhirnya mereka sendiri terperosok dan terpisah daripada masyarakat. Hasilnya mereka bukan sahaja tidak dapat menyelesaikan masalah kontemporari bahkan mereka juga gagal memahami kenyataan hidup.

Kelompok ketiga ialah mereka yang bereaksi dengan penuh kritis dan meneliti modenisasi dari segala aspeknya-positif dan negatif. Misalnya, kita mahu ulama-ulama yang dibesarkan di bawah bimbingan pondok dan asuhan hauzah mampu membuat kritikan terhadap sistem dan fahaman sekularisme, nasionalisme, kapitalisme dan bermacam isme lagi. Murtadha Muthahhari misalnya sangat pakar dalam menganalisis akar-akar pemikiran marxisme.

Orang-orang moden, terutama Barat dan para pendokongnya, dalam dunia moden kecewa terhadap modenisasi kerana kegersangan rasional yang dibawanya. Maka masyarakat mula menginginkan sesuatu yang tidak logik, tidak rasional. Sehingga lahirlah apa yang disebut post-modernisme.

Di dalam filem lazimnya, logika banyak dilempar jauh kerana mereka sudah jemu dengan logik, kecewa dengan rasionalisme dalam kehidupan.

Lalu mereka mula memasuki hal-hal yang mistikal, yang di luar rasional. Maka di sinilah peranan para sufi dan tasawwuf itu perlu memainkan peranan bagi mengisi kekosongan masyarakat moden kini. Ibnu Arabi atau Syed Hussein Nasr misalnya, selain berpegang kepada rasional yang kuat, juga berpaut kepada dimensi mistikal-tasawwuf.

Sekali lagi tasawwuf harus memberi kekuatan terhadap kerinduan-kerinduan yang digersangkan oleh rasionalisme moden. Tragedi ‘Sauk’ adalah contoh bagaimana masyarakat yang terdiri daripada profesional, ahli korporat dan lain-lain mengidap ‘kerinduan’ mistikal ini.

Jika kita soroti kedatangan dan perkembangan Islam di Malaysia khususnya Kelantan, Islam muncul kepada kita dengan wajah yang menyenangkan masyarakat pada waktu itu. Majlis tahlil, sambutan Maulid Nabi, ziarah kubur dan sebagainya begitu cocok dengan mereka.

Dan tradisi ini terus berkembang dan sentiasa dipelihara oleh para tok lebai, tok ayah, para ulama silam dan diwarisi oleh generasi berpendidikan agama hari ini. Kesannya Islam terus mendapat sambutan dan terbukti pemupukan bi’ah Islamiyyah lebih ketara di Kelantan. Dan inilah juga faktor mereka terus ingin mengekalkan kepimpinan ulama.

Relevansi Sufi Dalam Dunia Moden

Cahaya iman yang terpancar daripada jiwa mukmin yang bersih sahajalah yang mampu memberi sinar kepada kehidupan kini.

Lantaran itu apabila kita berbicara mengenai perkara ini tidak ada formula yang ampuh dan berkesan melainkan kita mengembalikan diri kepadaNya yang Maha Esa, mengembalikan kepada penginsafan bahawa dunia yang bersifat sementara ini bukan segalanya yang kita cari. Bahawa dunia yang mengilusikan waktu yang sedetik ini tidak mungkin untuk pergunakan untuk kepuasan diri dan hawa nafsu kerana natijah daripada perkara tersebut adalah sesal dan binasa.

Sebab itu Allah sebut dalam Al-Quran: (Surah An-Naazi’at: 37-39)

ُErtinya: Adapun orang yang melampaui batas, dan lebih mengutamakan kehidupan dunia, maka sesungguhnya nerakalah tempat tinggalnya.

Apabila kita berbicara mengenai Sufisme di tengah masyarakat moden, ada suara sumbang yang menyatakan bahawa ini adalah satu usaha memutarkan jarum jam ke belakang, menyelusuri zaman silam dengan segala kemunduran. Menyingkapkan tirai kemiskinan dengan segala kesusahan dengan pelbagai bayangan yang terjelma di minda kepala mereka untuk memencilkan pengertian dan penghayatan sufi ini.

Relevansi Sufism pada hari ini, dilihat dari persepsi dan pandangan yang keliru. Kini apabila istilah sufism diketengahkan ramai yang memahami bahawa Sufi merupakan cara hidup golongan tertentu yang mengamalkan zikir-zikir tertentu, tidak suka keluar untuk bergaul bersama masyarkat, berperilaku tidak rasional, memencilkan diri dari kehangatan bermasyarakat dan seumpamanya.

Tasawwuf dianggap anti sains, anti kemajuan dan anti kemodenan. Bagi para pembencinya tasawwuf difahami sebagai suatu usaha menghindari dunia, menyibukkan diri dalam zikir dan doa. Biarlah tasawwuf dipelajari oleh orang tua dan uzur sebelum mati.

Kadang kala seorang aktivis menganggap tasawwuf menurunkan semangat juang seseorang untuk menentang kezaliman. Tasawuf hanya ubat untuk menghalau hantu raya dan santau. Selain bank Islam, sains Islam, universiti Islam, ada juga klinik Islam iaitu tasawwuf.

Namun perlu disedari bahawa jiwa sebenarnya walau apapun disebut tentangnya kita memerlukan pentazkiyahan. Walau macamana zaman berubah sekalipun jiwa perlu diubati dari penyakit. Kerana penyakit ini jika tidak diubati akan menjadi barah merosakkan manusia.

Lantaran itu alim ulama’ yang silam seperti Imam Al-Ghazali mengungkapkan pengertian penjernihan jiwa bukan setakat mengamalkan amalan tertentu dan aktiviti tertentu semata-mata. Tetapi sebenarnya apa yang perlu dilihat adalah Imam Ghazali telah menetapkan dasar sufi secara keseluruhan untuk diamalkan.

Bukan apabila disebut mengenai sufi, ia adalah satu juzu’ dengan juzu yang lain tetapi sebenarnya apa yang disebut pentazkiyahan nafs adalah satu usaha untuk menjadikan diri kita sebagai hamba kepada Allah, yang benar-benar patuh kepada perintahNya, menjadikan hidup di dunai ini sebagai jambatan ke akhirat. Menjadikan hidup ini sebagai tempat berteduh dari perit matahari buat sementara waktu bagi meneruskan perjalanan yang panjang dan abadi.

Mereka menjadikan dunia ini sebagai tempat untuk mencari bekalan akhirat. Menjadikan dunia ini sebagai tempat membina kemakmuran dan pengislahan. Oleh sebab itu mereka teguh dengan prinsip dan keyakinan semata-mata dengan nama Islam-walau karihal kafirun.

Sebaliknya sufi dengan ciri-ciri yang ada padanya merupakan nadi kekuatan, menjadi penjana segala kemajuan malah menjadi intipati kepada pembangunan masyarakat yang ampuh dan terjamin.

Menakjubkan kalau kita melihat nama-nama besar dalam dunia sufi, mereka merupakan cermin ketokohan. Al-Hallaj, Al-Qawariri dan sebagainya adalah pemuka masyarakat dalam pemerintahan dan keagamaan. Jalaluddin Ar-Rumi pernah menjadi menteri. Malik bin Dinar adalah seorang sultan. Sultan Akbar yang berjaya menyatukan India dalam kedamaian dan kemakmuran adalah seorang raja yang sufi (*cerita Sultan Akbar ini perlu disaring-Gagasan Ulama)).

Tareqat Sanusiyyah di Tunisia berhasil menghalau penjajah dan membentuk Libya. Imam Khomeini, pemimpin Revolusi Islam Iran yang menggemparkan itu dikenali sebagai seorang tokoh irfan abad ke-15. Berkat aliran-aliran sufi, bangsa Chechen yang memelihara Islam dalam cengkaman komunisme bangkit menentang Rusia sendirian. Terakhir, pejuang Hizbullah Lebnon yang berjaya menghambat Israel juga menghidupkan amalan sufisme dalam rutin kehidupan mereka.

Perlu difahami di sini ialah sebenarnya sufi berasal daripada makna penyucian jiwa. Penyucian jiwa daripada penyakit hati, keegoan, ketamakan dunia, harta, pangkat dengan menginsafi bahawa dunia yang bersifat sementara ini bukan segalanya yang dikejarkan.

Bukan matlamat utama yang hendak dicapai. Tetapi dunia ini adalah jambatan menuju akhirat. Tasawwuf yang sebenarnya ialah gaya hidup yang meliputi sikap, pandangan dan tingkah-laku. Tasawwuf bukan mekanisme pelarian dan persembunyian. Para sufi bukan meninggalkan dunia. Bahkan mereka ingin menggoncangnya. Tasawwuf juga tidak menafikan syariat. Tasawwuf berpijak pada syariat untuk menjalani tareqat agar mencapai hakikat.

Penutup

Masyarakat harus sedar bagaimana seorang sufi mampu berperanan dalam pembangunan dan perkembangan ummah kerana seseorang sufi yang sebenar adalah mereka yang melakukan sesuatu pekerjaan dengan sebaik dan seikhlas mungkin. Zuhud dalam tasawwuf bukan kependetaan yang menolak dunia tetapi memiliki dunia.

Keserakahan dan rakus terhadap kekuasaan dan kekayaan didorong oleh hilangnya rasa takut kepada Allah dan lupanya manusia dengan azab nerakaNya. Kezaliman dalam masyarakat juga berpunca daripada sirnanya rasa mahabbah sesama insan. Manusia sanggup bertuhankan manusia lain disebabkan tidak ada kebergantungan dan pergharapan kepada Allah.

Maka sufisme pada hari ini perlulah diungkapkan sebagai satu usaha untuk menuju redha Allah, cinta dan patuh kepada perintahNya dengan menempuh perjalanan Ilahiyyah seperti taubat, khauf wa raja’, zuhud, mahabbah, sabar dan sebagainya yang dengannya manusia akan lebih memakmurkan dunia ini menjadi ‘baldatun thaiyibatun wa rabbun ghafur’.

Semoga bermanfaat kepada semua.

Monday, May 5, 2008

Daud al-Fathani- Tokoh Sunnah dari Tarekat Syathariyah

Ketokohan beliau dalam bidang tasauf serba ringkas telah disentuh penulis sebelum ini. Juga dibicarakan dengan mendalam dalam buku berjudul Perkembangan Ilmu Tasauf (Jilid 1). Namun begitu, masih belum dianggap lengkap dan sempurna sekiranya tidak dibicarakan ketokohannya dalam orde Tarekat Syathariyah, yang mana adalah salah seorang Sheikh Mursyid Kamil Mukammilnya.

Setahu penulis bahawa di Asia Tenggara tercatat dua orang sahaja ulama tokoh besar orde tarekat ini yang terkenal. Mereka ialah Sheikh Abdur Rauf al-Fanshuri dan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Murid Sheikh Abdur Rauf al-Fanshuri bernama Sheikh Burhanuddin Ulakan menyebarkan Tarekat Syathariyah itu ke Pariaman, Minangkabau.

Bahawa pada suatu masa dahulu tarekat ini pernah memegang peranan yang terpenting dalam dakwah Islamiah di Asia Tenggara. Bahkan ia adalah satu orde tarekat yang terbesar pengikutnya di Asia Tenggara sebelum masuknya Tarekat Qadiriyah dan Naqsyabandiyah.

Syathariyah berkembang di Pulau Jawa, yang terbesar pengikutnya di Cerebon, Jawa Barat. Penyebarnya yang terkenal ialah Sheikh Abdul Muhyi Pamijahan, murid Sheikh Abdul Rauf al-Fansuri iaitu Sheikh Abdul Malik (Tok Pulau Manis) Terengganu, Sheikh Yusuf Tajul Khalwati, semuanya adalah murid Sheikh Abdur Rahman al-Fansuri.

Di mana sahaja Tarekat Syathariyah dikembangkan di zaman mutakhir iaitu dimulai akhir abad ke 18 hingga ke abad ini, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani tetap dikenal dan disebut namanya.

Salah seorang muridnya mengenai Tarekat ini seumpama Sheikh Zainuddin Sumbawa. Nama sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani lebih bersemi di hati umat Islam pengikut Tarekat Syathariyah di negeri-negeri di Alam Melayu, bahkan sampai-sampai ke Campa dan Burma. Salasilah tarekat ini di Asia Tenggara ini banyak bersambung dengan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fahthani.

Daripada Sheikh Daud al-Fathani dikenal pula ulama besar yang berasal dari Patani sebagai khalifah-khalifah Mursyid Tarekat Syathariyah seperti Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fatani, Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain bin Mustafa al-Fatani, Sheikh Ismail bin Abdul Qadir bin Mustafa al-Fatani dan lain-lain.

seterusnya

Kiai Abdul Madjid ulama Madrasah At-Taufiqiyah

Ulama kali ini adalah sangat terkenal di daerah Nusapati bagi Kabupaten Pontianak yang terletak Kepulauan Kalimantan Barat, Indonesia. Ulama yang dimaksudkan ialah Kiai Abdul Madjid Ismail.

Semasa hayatnya, beliau sangat aktif dalam menyebarkan dakwah Islamiah dengan mengajar di serata masjid-masjid.

Beliau adalah penyambung pimpinan Madrasah at-Taufiqiyah, yang diasaskan oleh bapa saudaranya iaitu, Sulaiman Sa’ad.

Asal-usul

Tokoh yang dikenali dengan Ustaz Madjid ini dilahirkan pada 24 Julai 1924 di Kuala Secapah, Mempawah, iaitu salah satu daerah di Kabupaten Pontianak, Indonesia.

Bapanya bernama Ismail Sa’ad manakala ibunya, Fatimah Tereng bin Ahmad yang berasal dari Banjar Masin.

Bapa beliau iaitu Ismail Sa’ad juga adalah generasi yang pertama bersama-sama mendirikan Madrasah at-Taufiqiyah tersebut bersama-sama adik-beradiknya yang lain.

Pendidikan

Kiai Haji Abdul Madjid Ismail memulakan pendidikan di Madrasah Nurul Falah wan-Najah di Sungai Bakau Besar (Indonesia). Kemudian meneruskan pengajiannya di Madrasah at-Taufiqiyah, yang merupakan sekolah yang diasaskan dari ahli keluarga beliau sendiri, iaitu bapa saudaranya bernama Sulaiman Sa’ad.

Selain belajar di madrasah-madrasah, beliau juga menuntut ilmu dengan ulama-ulama yang ada pada zamannya di sekitar Kabupaten Pontianak. Malahan beliau banyak menuntut ilmu melalui ahli keluarganya sendiri iaitu bapa dan bapa saudaranya tersebut.

seterusnya