Adalah suatu penyelidikan yang keliru oleh beberapa penulis yang mengatakan Syeikh Ahmad al-Fathani meninggalkan karya lebih kurang 16 buah saja. Menurut kajian penulis sendiri, barangkali boleh ditambah ‘0’ di belakangnya, bererti menjadi 160. Bahkan lebih banyak daripada yang tersebut itu.
Karya Sheikh Ahmad al-Fathani terbahagi kepada tiga bentuk iaitu:
A. Tulisan dalam bahasa Arab
B. Tulisan dalam bahasa Melayu
C. Kitab-kitab yang ditashhihnya termasuk beberapa bahasa daerah disesuaikannya dengan bahasa Melayu yang berlaku menurut zamannya. Kitab-kitab yang ditashhihnya terdiri pula kepada dua bahagian iaitu dalam bahasa Arab dan dalam bahasa Melayu.
Jumlah karya Syeikh Ahmad al-Fathani sebenarnya tidak diketahui kerana sebahagian besar koleksi manuskrip karya beliau atau orang lain yang dipindahkan dari Mekah ke Jambu, Patani oleh anaknya Kadi Haji Wan Ismail Al-Fathani telah musnah dalam Sungai Jambu dalam tahun 1970.
Beberapa naskhah pula diambil oleh beberapa orang yang tinggal di rumah beliau di Mekah yang kemudiannya membawa pulang ke tempat asal mereka. Manuskrip yang dapat diselamatkan hanyalah sebahagian kecil. Itu pun yang dibawa oleh Tuan Guru Haji Mahmud dari rumah Sheikh Ahmad al-Fathani di Mekah ke Gajah Mati, Pendang, Kedah. Ada juga yang dibawa ke Kepulauan Riau oleh anak beliau sendiri, iaitu Hajah Wan Zainab.
Seluruh karya Sheikh Ahmad al-Fathani yang telah diperolehi ataupun maklumat tentangnya yang telah diketahui akan dibicarakan dalam artikel ini. Karya yang ditulisnya dalam bahasa Arab diusahakannya sejak umurnya masih muda belia, ketika ia masih belajar di Baitulmaqdis dan Mesir.
Selanjutnya setelah pulang ke Mekah baru beliau menulis dalam bahasa Melayu. Walau bagaimanapun karyanya yang pertama yang ditulis ketika berusia 15 tahun ditulis dalam bahasa Melayu.
No comments:
Post a Comment