Thursday, February 14, 2008

Kunci Khazanah Rahmah





Angin kencang bertiup dari utara, khabarnya selawat syifa' itu bid'ah malah syirik. Astaghfirullahhal 'azim. Mungkin orang yang melontarkan itu perlu lebih mendalami tatabahasa nahu 'Arab, uslub dan balaghah sebelum senang-senang mensyirikkan muslim. Seperti yang pernah Ustaz Hashim Jasin huraikan dari kitab Syarah Ibn 'Aqil tentang perkara ini.

Sungguh tragis, sekiranya majoriti ulama' dan muslim itu dilabel syirik hanya kerana sentiasa membaca selawat syifa'. Jangan menganggap label syirik itu perkara mudah dan simple. Syirik ialah mensyarikatkan Allah. Menyengutukan Allah. Sudah tentu orang yang berselawat syifa' tidak pernah sekali-kali terlintas untuk mengatakan selain Allah ada lagi yang mampu menyembuhkan.

Tidak pernah sekali-kali muslim mukmin beri'tiqad Rasulullah saw mampu menyembuhkan penyakit. Semua mukmin yakin Allah itu al-Syafi. Sebelum label, kaji dulu, baca kitab dulu, tanya para 'ulama, jangan ikut kepala sendiri. Tak kasihankah kepada jutaan umat Islam yang dituduh bid'ah dan syirik hanya kerana selawat syifa? Kalian tidak mengetahui kah rahsia selawat syifa' yang sudah ramai manusia lain ketahui?


Bediuzzaman Said Nursi di dalam Luma'ah ke-14 menyebutkan tentang Rahmah. Rahmat boleh menyampaikan kita kepada Sultan Teragung iaitu ALlah swt. Tuhan yang tidak pernah berhajat kepada makhluk, Maha Suci dan tanpa sekutu. Rahmat teragung seluruh semesta ini ialah baginda Rasulullah saw. Baginda yang merupakan rahmat teragung seumpama cahaya matahari. Kita tidak mampu mencapai matahari dek kerana jauhnya matahari itu dan kekerdilan diri kita. Tapi dengan cahayanya yang merata itu, kita dapat mengenali dan mendapat limpahan kebaikan dari matahari. Begitulah baginda, rahmat yang datang dengan perutusan baginda itu menyeluruh, mampu menyampaikan kita kepada Pemilik seluruh alam semesta.

Dan Nursi menyebut, cara atau jalan untuk sampai kepada khazanah Rahmat Allah itu ialah dengan mengikut perjalanan dan sunnah Baginda saw bersungguh-sungguh. Bagaimana pula untuk kita sampai, dekat dan cintakan Rasul saw serta mengikut sunnah-sunnah baginda? Ketahuilah ia ialah dengan cara berselawat dan salam ke atas baginda.

Innallahha wa malaaikatahu yusolluna 'alannabiy...Ya aiyyuhalladhina aamanu sollu 'alaihi wa sallimu taslima. Labbaika....

Alahhumma solli wa sallim wa barik 'ala Muhammad wa 'ala aali Muhammad.

Allahhumma solli 'ala Sayyidina Muhammad tibbil qulubi wa dawa'aiha wa 'afiyatil abdaani wa syifa'iha wa nuril absari wa dhiya'iha wa 'ala alihi wa sohbihi wa sallim.

sumber

No comments: