Antara Ulama terkenal yang hadir di Multaqa Sedunia Alumni Al-Azhar di KLCC baru-baru ini ialah Syeikh Wahbah Zuhayli.Namanya sering disebut-sebut oleh para ustaz saya di Maahad Tahfiz Al-Quran Pulai Chondong.Di rumah saya juga terdapat kitab tafsir Al-Quran ,Tafsir Al-Munir karangan beliau yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu oleh Persatuan Ulama Malaysia (PUM) dengan kerjasama Intel MULTIMEDIA AND PUBLICATION (iMAP).Tafsir ini telah menjadi rujukan utama dalam pengajian tafsir kontemporari.
Tatkala multaqa berhenti rehat untuk makan tengahhari,tanpa diduga saya bertembung dengan ayah saya yang sedang mengiringi Syeikh Wahbah Zuhayli.Lantas saya bersalaman dengan Syeikh Wahbah Zuhayli setelah diperkenalkan oleh ayah saya.Rasa terkejut juga bertemu dengan ulama besar ini buat pertama kali namun ada sesuatu yang lebih mengejutkan lagi.
Malam itu saya turun berseorangan untuk makan malam di tempat yang disediakan khas untuk peserta multaqa di Hotel Traders,KlCC.Ketika sedang khusyuk menjamu makan malam yang cukup enak,mata saya terpandang kepada wajah bercahaya seorang tua yang juga sedang duduk berseorangan menjamu hidangan makan malam.Syeikh Wahbah Zuhayli rupa-rupanya !!.
Saya pada mulanya teragak-agak untuk meluru ke arah beliau memandangkan beliau sedang menjamu selera.Namun bagi saya inilah peluang keemasan untuk bersua muka dengan beliau lantas saya meninggalkan hidangan makan malam saya dan tanpa rasa malu terus duduk di kerusi bersebelahan beliau.
Saya memperkenalkan diri dan terus bersembang-sembang lingkungan 5-10 minit dengan beliau sambil beliau menjamu buah-buahan.Saya sempat bertanya tentang keadaan tanah air beliau di Damsyik,Syria ,memaklumkan kepada beliau cita-cita saya untuk melanjutkan pelajaran dalam pengkhususan tafsir al-quran,dan tentang tafsir beliau yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu .
Beliau juga seperti berminat untuk bersembang walaupun kelihatan keletihan dengan bertanyakan saya beberapa soalan berkenaan Malaysia antaranya soal cuaca,tentang geografi(sedikit sukar saya terangkan dalam bahasa Arab),mata wang,dan beberapa soalan lain yang menunjukkan minat beliau terhadap negara Malaysia.Maka tidak peliklah belaiu menaruh harapan cukup tinggi agar malaysia menjadi negara Islam moden suatu masa nanti.
Kesempatan bertemu Syeikh Wahbah Zuhayli walaupun sebentar memberikan kenangan yang cukup indah juga satu suntikan motivasi kepada saya agar terus istiqamah berjuang menuntut ilmu seterusnya mengamalkannya lantas memberi manfaat kepada umat keseluruhannya.Hidup sebagai ulama'.Mati sebagai Syuhada'.Insya Allah.
sumber