Wednesday, August 20, 2008

Syeikh Ahmad Fatani & Ilmu Hisab

PENDAHULUAN
PEMIKIRAN Sheikh Ahmad al-Fathani dalam pelbagai bidang ilmu sememangnya amat panjang untuk dibicarakan. Artikel ini masih lagi berkisar tentang pemikiran-pemikiran beliau berkenaan hal demikian. Kali ini dibicarakan pemikiran-pemikiran Sheikh Daud al-Fathani dalam tiga bidang ilmu, iaitu ilmu berkaitan hisab/falakiyah, waktu dan falsafah.

SHEIKH AHMAD AL-FATHANI DAN ILMU HISAB/FALAKIYAH
Penglibatan Sheikh Ahmad al-Fathani dalam bidang ilmu hisab boleh diketahui dengan mengkaji karyanya yang berjudul Al-Fatawal Fathaniyah.

Tidak banyak ditemui pembicaraan beliau tentang ilmu hisab itu dalam bahasa Melayu. Ini kerana Sheikh Ahmad al-Fathani lebih banyak menulisnya dalam bahasa Arab.

Tulisan beliau dalam bahasa Arab mengenai ilmu hisab dimulai dengan penerbitan kitab Matn as-Sakhawiyah fi ‘Ilmil Hisab karya Sheikh Abdul Qadir as-Sakhawi. Penerbitan dan pentahqiqan dilakukan pada tahun 1304 H/1886 M. Kemudian kitab tersebut beliau syarah pula dalam bahasa Arab.

Selain ilmu hisab yang biasa, yang dapat kita samakan dengan matematik, ada lagi ilmu hisab yang sangat erat hubungannya dengan ilmu falak. Ilmu hisab dan ilmu falak lebih banyak ditulis oleh Sheikh Ahmad al-Fathani berbanding ilmu hisab yang bercorak matematik. Karya beliau yang jenis kedua itu juga ditulis dalam bahasa Arab. Dalam tahun 1305 H/1887 M, Sheikh Ahmad al-Fathani telah mentahqiqkan kitab Wasilatut Thullab li Ma‘rifati A’mal al-Lail wa an-Nahar bi Thariq al-Hisab karya Syeikh al-Khaththab.

Pada tahun 1313 H/1895 M diselesaikan pula pentahqiqan kitab Ghayah al-Idrak fi al-‘Amal bi Kurah al-Aflak. Dalam tahun 1315 H/1897 M, kitab yang sama ditulis kembali dengan beberapa tambahan. Terdapat sebuah lagi karya Sheikh Ahmad al-Fathani yang terbesar mengenai ilmu hisab dan falak berjudul ar-Rubu’ al-Mujaiyab, tetapi tidak sempat diselesaikan. Selain karya-karya yang tersebut, Syeikh Ahmad al-Fathani juga menyelesaikan beberapa tulisan mengenai ilmu tersebut.

Berkembang- nya ilmu hisab dan falak di dunia Melayu pada penghujung abad ke-19 dan awal abad ke-20 Masihi adalah hasil peranan beberapa orang murid yang pernah belajar ilmu tersebut daripada Sheikh Ahmad al-Fathani di Mekah.

Di antara mereka yang terkenal dalam disiplin ilmu hisab dan falak ini ialah, Sheikh‘Abdur Rahman Gudang al-Fathani, Sheikh Muhammad Nur al-Fathani, Haji Umar bin Ismail Nuruddin Kelantan, Sheikh Thahir Jalaluddin al-Azhari al-Falaki, Sheikh Jamil Jambek, Haji Abdullah Fahim, Mufti Pulau Pinang dan ramai lagi.

Perlu juga penulis sebutkan bahawa hanya terdapat dua ulama dunia Melayu yang menjadi pengajar ilmu hisab dan falak di Mekah pada zaman itu. Mereka ialah Sheikh Ahmad al-Fathani dan Sheikh Ahmad Khathib Minangkabau.

Setelah Sheikh Ahmad al-Fathani meninggal dunia (1325 H/1908 M), Sheikh Ahmad Khathib Minangkabau meneruskan aktiviti pengajaran ilmu itu. Pada waktu yang sama muncul nama Sheikh Muhammad Nur al-Fathani. Sewaktu Sheikh Ahmad al-Fathani masih hidup, Syeikh Muhammad Nur al-Fathani sudah mula mengajar ilmu itu tetapi masih belum begitu dikenali.

seterusnya

No comments: