Monday, December 24, 2007

Neraca Nabawi Bagi Mengetahui Kebenaran Untuk Orang-orang Awam

Pendahuluan:

Saban waktu dan masa, umat Islam sering dilanda perselisihan dan perpecahan, dalam pelbagai bidang. Namun, isu yang lebih penting ialah, berkenaan dengan perselisihan yang melibatkan perkara-perkara pokok seperti masalah aqidah dan sebagainya, kerana perselisihan dalam masalah-masalah furu' (cabang) tidak membawa kepada kesesatan.

Tidak dapat dinafikan bahawa, dalam kalangan umat Islam, sejak zaman salafus soleh lagi, berlaku perselisihan sehingga melahirkan beberapa kelompok dan golongan yang tersesat daripada dasar aqidah Islam yang murni. Mereka terfitnah dek kecetakan ilmu mereka, dalam berinteraksi dengan nas-nas Al-Qur'an dan As-Sunnah.

Sejarah menunjukkan tentang kelahiran golongan khawarij, muktazilah, syi'ah, jabbariyah, qadariyah, mujassimah dan sebagainya, yang mana kelompok tersebut sudah keluar daripada kefahaman aqidah Islam yang murni. Sebahagian daripada golongan tersebut sudah lenyap dan sebahagian golongan masih terus wujud dalam pelbagai nama dan imej yang berbeza, namun masih mewarisi kejumudan paradigma golongan-golongan yang sesat tersebut.

Walaubagaimanapun, Allah s.w.t. menjanjikan kepada Rasulullah s.a.w., bahawa, Dia akan menjaga umat Islam daripada kesesatan, dengan memelihara majoriti umat Islam daripada terjerumus ke dalam kesesatan, takkala munculnya golongan-golongan yang sesat dalam umat Islam tersebut.

Bahkan, para ulama' dari kalangan majoriti umat Islam inilah yang terus mempertahankan umat Islam daripada kesesatan golongan-golongan yang sesat, dengan menolak kesesatan mereka samada dengan hujah dan sebagainya. Hal ini sentiasa berlaku sehinggalah berlakunya hari Kiamat, di mana, Allah s.w.t. akan sentiasa memelihara majoriti umat Islam daripada kesesatan, yang mana, mereka (majoriti umat Islam) ini dipelihara oleh para ulama mereka sendiri, yang merupakan majoriti ulama' Islam.


Dalil daripada As-Sunnah tentang Perpecahan Umat Islam

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

"Sesungguhnya sebelum kamu, iaitu sebahagian daripada ahlul kitab telahpun berpecah kepada tujuh puluh dua golongan. Sesungguhnya, umat ini (umat Rasulullah s.a.w.) akan berpecah kepada tujuh puluh tiga golongan…" (Hadith riwayat Imam Ahmad dan Imam Abu Daud)

Sesungguhnya, terdapat lebih kurang sepuluh buah hadith yang menceritakan tentang perpecahan umat Rasulullah s.a.w. kepada lebih tujuh puluh golongan. Peristiwa tentang perpecahan umat Rasulullah s.a.w. ini sememangnya sudahpun diramalkan oleh Rasulullah s.a.w..

Namun, para ulama' berselisih pendapat tentang perpecahan tersebut. Kebanyakkan ulama' berpendapat bahawa, perpecahan itu berlaku dalam kalangan umat Islam itu sendiri (ummah ijabah). Sebahagian ulama' pula berpendapat bahawa, perpecahan tersebut berlaku antara umat Islam dengan orang-orang kafir yang lain, yang mana, kesemua mereka adalah umat Rasulullah s.a.w. dari sudut ummah dakwah (iaitu umat manusia yang menjadi sasaran dakwah Rasulullah s.a.w.).

Pendapat yang kuat dalam kalangan para ulama' adalah, pendapat yang mengatakan bahawa, perpecahan tersebut berlaku dalam kalangan umat Islam sendiri. Antara para ulama' yang berpegang dengan pendapat ini adalah: Imam Al-Asy'ari (maqalat al-islamiyin), Imam Abu Mansur (Al-Milal wa An-Nihal dan Al-Farq bainal Firaq), Imam Abu Al-Fath As-Syahrastani (Al-Milal wa An-Nihal), Imam Ibn Hazm (Al-Fashlu fi Al-Milal), Imam Ibn Jauzi (Talbis Iblis), Imam As-Sya'rani (Al-Mizan Al-Kubro) dan ramai lagi.

Hal ini berdasarkan hadith Nabi s.a.w. yang lain yang berbunyi: "…Sesungguhnya, orang yang hidup selepasku akan melihat perselisihan yang besar…" (Hadith Sahih). Hadith ini menceritakan perihal umat Islam yang berselisihan sesama mereka, kerana kalau yang dimaksudkan adalah perselisihan antara umat Islam dengan umat-umat dari agama yang lain, maka sejak zaman Baginda s.a.w. lagi, telah berlaku perselisihan antara mereka, sedangkan hadith ini mengisyaratkan tentang keadaan setelah kewafatan Baginda s.a.w..

Bahkan, hadith setelah ini yang menjadi pokok perbincangan di sini, turut menjadi dalil yang menunjukkan tentang berlakunya perselisihan dalam umat Islam itu sendiri. Bahkan, realiti sendiri menunjukkan berlakunya perselisihan besar dalam masalah aqidah, dalam kalangan umat Islam, menerusi catatan sejarah sehinggalah realiti hari ini.

Umat Islam Tetap Terpelihara

Walaupun berlaku perselisihan dalam kalangan umat Islam, namun Allah s.w.t. tetap memelihara keutuhan umat Islam, dengan memberi jaminan, akan terus menjaga umat Islam daripada terjerumus ke dalam kesesatan secara menyeluruh.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

"Sesungguhnya umat aku (umat Islam) tidak akan berhimpun dalam kesesatan. Jika kamu melihat perselisihan (dalam kalangan mereka), maka hendaklah kamu mengikuti sawadul a'zhom (majoriti umat Islam). Sesungguhnya, sesiapa yang terasing, maka dia akan terasing dalam neraka" (Hadith riwayat Ibn Majah)

Daripada Ibn Umar r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda lagi:

"Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak akan menghimpunkan umat ini (umat Islam) dalam kesesatan selama-lamanya. Yadd (tangan: bantuan) Allah itu bersama-sama jama'ah. Maka, hendaklah kamu mengikuti sawadhul a'zhom (majoriti umat Islam)" (Hadith riwayat Al-Hakim daripada jalan Ad-Dhiya' Al-Maqdisi)

Dalam dua hadith tersebut menjelaskan beberapa nota penting iaitu:

Pertama: Rasulullah s.a.w. memberitahu kita bahawa, akan berlaku perpecahan dalam kalangan umat Islam. Perpecahan yang dimaksudkan ini, pasti berkaitan dengan masalah aqidah kerana perselisihan dalam masalah furu' (cabang) seperti perbezaan mazhab dalam fiqh, tidak membawa kepada perpecahan.

Kedua: Apabila berlaku perpecahan, maka setiap muslim hendaklah bersama dengan "sawadhul a'zhom" (majoriti umat Islam), yang turut dinamakan oleh Rasulullah s.a.w. sebagai jamaah.

Ketiga: Jelaslah bahawasanya, majoriti umat Islam inilah yang benar, kerana mereka tidak akan berhimpun dalam kesesatan. Manakala, golongan yag tersesat atau tersalah dalam masalah aqidah, dari kalangan umat Islam hanyalah golongan minoriti sahaja. Kerana itulah, Rasulullah s.a.w. menganjurkan umat Islam mengikut majoriti umat Islam (sawadhul a'zhom) ketika berlaku perselisihan dan perpecahan dalam umat Islam.

Keempat: Allah s.w.t. sentiasa membantu golongan majoriti umat Islam ini, dalam menangkis kesesatan yang cuba dibawa masuk oleh golongan-golongan yang tersesat (syaz: terasing atau terpinggir) daripada aqidah sebenar Islam.

Lagi: Perintah Agar Menyertai Majoriti Umat Islam (Sawadhul A'zhom) atau Jamaah

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

"…Hendaklah kamu menyertai jamaah (majoriti umat Islam) dan janganlah kamu berpecah (mengikut golongan yang tersesat)…Sesiapa yang mahu menghuni taman syurga, maka hendaklah dia mengikut jamaah" (Hadith riwayat Ahmad, At-Tirmizi, dan Al-Hakim).

Telah berkata Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

"…Dan sesungguhnya pada jamaah itu ada rahmat, dan pada perpecahan itu ada azab." Maka berkatalah Abu Umamah Al-Bahili: "Hendaklah kamu bersama dengan sawadhul a'zhom"…

(Hadith riwayat Imam Ahmad, Al-Bazzar dan At-Tabrani).

Rasulullah s.a.w. bersabda lagi:

"…Aku tidak menyembunyikan sesuatupun (daripada kebenaran). Hendaklah kamu semua bertaqwa dan bersama-sama dengan jamaah. Janganlah kamu berpecah (mengikut golongan yang terkeluar daripada jamaah). Sesungguhnya (dengan keluar dari jamaah) itulah kesesatan. Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak akan menhimpun umat Muhammad dalam kesesatan" (Hadith riwayat At-Tabrani)

Antara pengajaran-pengajarannya:

Pertama: Hendaklah setiap individu muslim, bersama-sama dengan jamaah (kumpulan orang-orang Islam). Ia merupakan suatu seruan daripada Rasulullah s.a.w. sendiri.

Kedua: Jamaah (kumpulan orang-orang Islam) ini adalah sawadhul a'zhom (majoriti umat Islam) seperti yang dimaksudkan oleh Abu Umamah dalam hadith kedua tersebut. Maksudnya, apabila berlaku perselisihan dan perpecahan dalam umat Islam, maka sawadhul a'zhom (majoriti umat Islam)-lah yang merupakan jamaah Islam (kumpulan umat Islam) yang dimaksudkan oleh Rasulullah s.a.w..

Ketiga: Sesungguhnya, dengan bersikap menyalahi majorit umat Islam khususnya berkenaan dengan kefahaman-kefahaman dalam aqidah Islam, pada hakikatnya, merupakan suatu kesesatan yang nyata.

Larangan Menyertai Kesesatan Golongan yang Menyalahi Sawadhul A'zhom

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

"Sesungguhnya umat aku (umat Islam) tidak akan berhimpun dalam kesesatan. Jika kamu melihat perselisihan (dalam kalangan mereka), maka hendaklah kamu mengikuti sawadul a'zhom (majoriti umat Islam). Sesungguhnya, sesiapa yang terasing, maka dia akan terasing dalam neraka" (Hadith riwayat Ibn Majah)

Rasulullah s.a.w. bersabda lagi yang bermaksud:

"…Barangsiapa yang keluar daripada jamaah walaupun sejengkal, maka dia sudahpun memenggalkan agama Islam..." (Hadith riwayat Imam Ahmad)

Dalam hadith-hadith ini, Rasululullah s.a.w. melarang setiap individu muslim daripada keluar daripada kelompok umat Islam, dengan menyalahi aqidah kelompok umat Islam.

Bahkan, Rasulullah s.a.w. juga menegaskan bahawa, orang yang bercanggah dengan jamaah atau menyalahi majoriti umat Islam (sawadhul a'zhom) dalam masalah usul (pokok iaitu masalah aqidah), maka dia dianggap sebagai syaz, iaitu: orang yang terasing ataupun terpinggir daripada kelompok umat Islam.

Adapun orang yang terpinggir (syaz) ataupun kelompok-kelompok yang terpinggir (syawaz kata ramai bagi syaz) yang bercanggah dengan kefahaman murni aqidah sawadhul a'zhom (majoriti umat Islam), akan terpinggir ke dalam neraka juga, na'uzubillah.

Rasulullah s.a.w. juga memberi ancaman keras kepada mereka yang keluar daripada jamaah ataupun keluar daripada manhaj sawadhul a'zhom dalam masalah aqidah terutamanya, dengan memanggil orang yang keluar tersebut sebagai orang yang memenggal agama Islam itu sendiri. Hal ini menunjukkan, betapa beratnya fitnah yang dibawa oleh seseorang itu keluar daripada kelompok sawadhul a'zhom (majoriti umat Islam) kepada agama Islam itu sendiri.

Siapakah Jamaah, Sawadhul A'zhom dan Syaz itu?

Di awal zaman Rasulullah s.a.w., jamaah atau jemaah umat Islam itu jelas, iaitu orang-orang yang memeluk Islam dan berjuang bersama Rasulullah s.a.w.. Namun, setelah kemuncak kecemerlangan Islam di zaman Rasulullah s.a.w., terbit musuh-musuh Islam dari dalam, samada golongan munafiq mahupun golongan yang mendakwa sebagai nabi-nabi palsu seperti Musailamah Al-Kazzab.

Namun, Rasulullah s.a.w. dan umat Islam berjaya mematahkan musuh-musuh Islam tersebut. Namun, golongan munafiq masih bersembunyi di tengah-tengah umat Islam.

Setelah kewafatan Rasulullah s.a.w., umat Islam semakin berkembang. Dalam perkembangan yang sama, timbul bibit- bibit awal yang membawa kepada perpecahan dalam umat Islam. Perselisihan dalam umat Islam mula terasa bahangnya pada zaman Saidina Uthman r.a. dan semakin meuncak pada zaman Saidina Ali k.r.w.j..

Namun, pada permulaannya, perselisihan hanya berlaku di sekitar aspek politik, yang tidak melibatkan masalah aqidah. Sehinggalah kemuncak kegemilangan para tabi'in, muncul golongan-golongan yang tersalah dalam memahami nas-nas Al-Qur'an dan As-Sunnah, sehingga membentuk beberapa golongan bid'ah dalam masalah aqidah iaitu golongan Muktazilah, Jabbariyah, Qadariyah, Mujassimah, Syi'ah dan sebagainya. Mereka inilah golongan-golongan yang terpinggir (syaz) daripada kelompok umat Islam (majoriti umat Islam).

Namun, Allah s.w.t. masih memelihara umat Islam dengan menyelamatkan aqidah majoriti umat Islam (sawadhul a'zhom), dengan peranan yang dimainkan oleh majoriti ulama' Islam (golongan Al-Asya'irah dan Al-Maturidiyah), dalam membantras fahaman-fahaman sesat golongan-golongan tersebut.

Para ulama' majoriti umat Islam dari kalangan Al-Asya'irah dan Al-Maturidiyah inilah yang akhirnya berjuang atas nama, ahlus sunnah wal jamaah, kerana mereka mewakili majoriti umat Islam itu sendiri, yang berdiri di atas kebenaran, sesuai dengan jaminan Rasulullah s.a.w..

Para ulama' ahlus sunnah wal jamaah menentang fahaman muktazilah yang terlalu bebas dalam menggunakan akal sehingga mencemari kesucian wahyu, dan turut menentang fahaman mujassimah dan musyabbihah yang terlalu jumud dalam berinteraksi dengan nas-nas mutasyabihat (kesamaran maknanya) sehingga mencemarkan keagungan sifat-sifat Allah s.w.t., takkala mereka menyamakan Allah s.w.t. dengan makhluk atau mereka menjisimkan Allah s.w.t..

Para ulama ahlus sunnah wal jamaah turut mementang fahaman-fahaman lain seperti fahaman syi'ah, jabbariah, qadariyah dan sebagainya yang tidak jauh berbeza dengan golongan-golongan syaz yang lain.

Sebahagian daripada golongan-golongan terpinggir (syaz) tersebut berjaya dihapuskan namun sebahagian golongan yang lain, terus bersembunyi dan menyebarkan fahaman mereka secara tersembunyi, memang bagaikan kelompok yang terasing seperti yang dimaksudkan oleh Rasulullah s.a.w..

Sebahagian fahaman muktazilah menyelinap masuk ke dalam sebahagian ahli-ahli falsafah Islam sehingga memaksa ulama' ahlus sunnah wal jamaah membasmi fahaman mereka, seperti yang dilakukan oleh Imam Al-Ghazali r.a..

Bahkan, setelah itu, fahaman golongan mujassimah dan musyabbihah mula diketengahkan semula dalam masyarakat Islam, atas nama yang berbeza yang lebih dikenali dengan golongan hasyawiyah. Ulama'-ulama' Islam ahlus sunnah wal jamaah yang mewakili golongan sawadhul a'zhom (majoriti umat Islam) turut bertungkus-lumus membendung fahaman ini.

Kekeliruan yang Mengelirukan

Namun, setelah itu, muncul seorang pendakwah yang bernama Sheikh Ibn Taimiyah, yang secara tidak langsung, cuba mempelopori semula fahaman hasyawiyah dan mujassimah ini dalam bentuk yang lebih berhati-hati dan teliti. Beliau membuka semula kaedah-kaedah untuk menjisimkan Allah s.w.t. melalui nas-nas mutasyabihat (kesamaran maknanya) daripada Al-Qur'an dan As-Sunnah.

Antara kaedah-kaedah tersebut adalah, beliau menetapkan makna zahir bagi nas-nas mutasyabihat yang membawa kepada makna kejisiman Allah s.w.t., sedangkan para salafus soleh tidak pernah menetapkan sebarang makna bagi nas-nas mutasyabihat tersebut.

Beliau juga menolak konsep ta'wil dan kiasan bagi nas-nas mutasyabihat lalu menuduh golongan majoriti ulama' Islam sebagai golongan yang menafikan sifat Allah s.w.t, padahal tidak sedemikian.

Bahkan, bukan setakat itu, beliau menyandarkan fahamannya kepada salafus soleh, dek kerana salah mentafsirkan sebahagian daripada kata-kata para ulama' salaf, padahal para ulama' salafus soleh berlepas tangan darpada fahaman neo-mujassimah beliau.

Beliau turut menolak para ulama' ahlus sunnah wal jamaah seperti Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali yang diterima oleh majoriti ulama' Islam dan majoriti umat Islam, dan Imam Ar-Razi kerana mereka menolak tajsim bagi Allah s.w.t.. Ibn Taimiyah dalam banyak karangan beliau seperti dalam buku-buku At-Ta'sis, Risalah Tadmuriyah, Al-Arasy' dan Fatawa beliau, di mana beliau cuba menetapkan kejisiman bagi Allah s.w.t. secara tidak langsung. Bahkan, beliau turut mengkritik para ulama' Al-Asya'irah yang mewakili majoriti ulama Islam dan majoriti umat Islam, sejak 400 tahun sebelum kemunculan beliau, (yang dijamin kebenaran mereka oleh Rasulullah s.a.w. sendiri, berdasarkan hadith "tidak berhimpun umat atas kesesatan…").

Namun, beliau ditentang hebat oleh para ulama' ahlus sunnah wal jamaah, dari kalangan Al-Asya'irah khususnya, kerana cuba menghidupkan fahaman mujassimah semula, secara tidak langsung.

Setelah itu, sepertimana kebiasaan bagi golongan syaz (terpinggir), fahaman Ibn Taimiyah dan beberapa anak muridnya lenyap seketika ditelan zaman. Golongan Al-Hasyawiyah kembali bersembunyi di sebalik golongan athariyah atau para ahli hadith. Namun, golongan athariyah (ahli hadith) ini berbeza dengan muhaddithiin (ulama' hadith) dari kalangan ahlus sunnah wal jamaah.

Sehinggalah, setelah kemunculah seorang pemuda yang ghairah menghukum, iaitu Muhammad bin Abdul Wahab, beliau cuba menghidupkan semula fahaman Ibn Taimiyah dan turut mengkritik sawadhul a'zhom (majoriti umat Islam) dan menuduh majoriti ulama' Islam iaitu Al-Asya'irah sebagai golongan yang tidak mengikut aqidah salafus soleh. Beliau cuba memutarbelitkan fakta bagi menipu masyarakat awam Islam, terhadap aqidah salafus soleh.

Sekali lagi, golongan ahlus sunnah wal jamaah bangkit untuk menangkis fahaman neo-mujassimah yang cuba diketengahkan oleh kebanyakan para pengikut Muhammad bin Abdul Wahab.

Para pengikut Muhammad bin Abdul Wahab mula menyusun dan mengetengahkan semula kaedah-kaedah yang membawa kepada kejisiman Allah s.w.t. ketika berinteraksi dengan nas-nas mutasyabihat, yang pernah diketengahkan oleh Sheikh Ibn Taimiyah suatu ketika dahulu.

Antara kaedah-kaedah tersebut adalah, menetapkan makna zahir bagi nas-nas mutasyabihat, menolak ta'wil bagi nas-nas mutasyabihat, menetapkan tempat bagi Allah s.w.t. dan sebagainya, yang mana mereka membuka pintu kesesatan yang lebih besar, daripada pintu yang dibuka oleh Sheikh Ibn Taimiyah.

Malangnya, mereka berdusta ke atas para salafus soleh, dengan menisbahkan fahaman tajsim (menjisimkan Allah s.w.t.) mereka kepada para salafus soleh, sedangkan para salafus soleh tidak sedemikian kefahaman mereka.

Lebih malang lagi, sebahagian orang-orang awam yang tidak pandai dalam kaedah bahasa Arab, mula terpengaruh dengan fahaman golongan mujassimah moden ini, sehingga sanggup menetapkan kejisiman bagi Allah s.w.t., sanggup menetapkan tempat bagi Allah s.w.t., sedangkan aqidah sawadhul a'zhom yang dijamin kebenaran mereka oleh Rasulullah s.a.w. itu sendiri, menafikan jisim dan tempat bagi Allah s.w.t.. Bahkan, aqidah sawadhul a'zhom tidak menetapkan makna-makna zahir nas-nas mutasyabihat tersebut.

Kembalilah Kepada Salafus Soleh, Neracanya Adalah Sawadhul A'zhom.

Wahai orang-orang awam. Janganlah tertipu dengan sesetengah golongan yang menyeru kepada manhaj salafi, padahal mereka bercanggah dengan sawadhul a'zhom (majoriti umat Islam). Janganlah tertipu dengan olahan dan kefahaman salah mereka terhadap perkataan-perkataan salafus soleh dan janganlah turut mengikut bid'ah mereka dalam masalah aqidah takkala mereka tersalah dalam memahami nas-nas Al-Qur'an terutamanya nas-nas mutasyabihat.

Jauhilah golongan yang terpinggir daripada majoriti umat Islam ini, yang berfahaman tajsim, atas nama salafi padahal salafus soleh berlepas tangan daripada fahaman mereka. Ukurannya adalah majoriti umat Islam itu sendiri. Sejak sebelum kemunculan Sheikh Ibn Taimiyah dan Muhammad bin Abdul Wahab, sehingga hari ini, sawadhul a'zhom (majoriti umat Islam) adalah golongan ahlus sunnah wal jamaah yang terdiri daripada golongan Al-Asya'irah dan Al-Maturidiyah dalam masalah aqidah, dan terdiri daripada golongan yang bermazhab Imam Hanafi, Imam Maliki, Imam As-Syafi'e dan Imam Ahmad bin Hanbal dalam masalah fiqh.

Sesungguhnya, aqidah sawadhul a'zhom (majoriti umat Islam) iaitu golongan Al-Asya'irah dan Al-Maturidiyah yang menolak kejisiman Allah s.w.t., yang menolak tempat bagi Allah s.w.t. dan sebagainya, merupakan aqidah yang dijamin oleh Rasulullah s.a.w.. Ini janji Rasulullah s.a.w.. Mustahil golongan Al-Asya'irah tersesat sedangkan merekalah golongan majoriti umat Islam, sejak sebelum kelahiran Ibn Taimiyah dan Ibn Abdul Wahab lagi.

Nasihat Kepada Golongan Yang Terpinggir (Keluar dari Sawadhul A'zhom)

Janganlah ingkar dengan saranan Rasulullah s.a.w. agar kembali kepada sawadhul a'zhom (majoriti umat Islam). Kembalilah kepada aqidah sawadhul a'zhom dari kalangan salafus soleh, Al-Asya'irah dan Al-Maturidiyah. Janganlah kalian keluar daripada kelompok ini, kerana sesiapa yang terpinggir, maka dia akan terpinggir ke dalam neraka, na'uzubillah.

Janganlah bersikap sombong dengan terus membid'ahkan amalan-amalan yang diamalkan oleh sawadhul a'zhom (majoriti umat Islam) seperti amalan menyambut maulid Nabi s.a.w., amalan berzikir secara berjemaah, bertawassul kepada orang mati dan sebagainya, apatah lagi, ianya masalah yang khilafiyah bahkan diamalkan oleh kebanyakkan umat Islam. Sesungguhnya, umat Islam tidak akan berhimpun dalam kesesatan. Orang yang perasan bahawa majorit umat Islam telah tersesat ataupun telah melakukan bid'ah, sebenarnya dialah yang telahpun sesat kerana tidak meyakini hadith-hadith Nabi s.a.w. dalam bab ini.

Bertaubatlah kepada Allah s.w.t., kerana sesungguhnya Allah s.w.t. itu Maha Pengampun. Kembalilah ke pangkal jalan, kerana sesungguhnya jalan kebenaran masih terbentang luas, selagi nafas masih di rongga. Rasulullah s.a.w. seorang yang amanah lagi jujur. Jaminan kebenaran bersama dengan sawadhul a'zhom, sesuai dengan janji Baginda s.a.w.. Sesungguhnya, mati dalam bersama dengan sawadhul a'zhom itu suatu ketenangan kerana bersama dengan janji kebenaran daripada Rasulullah s.a.w.. Adapun hidup walau dengan bergunung emas sekalipun, tidak akan memberi ketenangan jika memusuhi dan keluar daripada sawadhul a'zhom (majoriti umat Islam).

Wallahu a'lam…

Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin Ar-Razi
14 Disember 2007

Lawati sumbernya

No comments: