Syekhul Islam al-Hafidz al-Imam al Allamah al-Sayuthi telah dilahirkan pada 849 h bersamaan 1445 m, mata beliau telah tertumpu pada kitab-kitab , fikiran beliau membaca, hati beliau menghalusi maklumatnya, mengenali, menghafal , melaksanakan, mentaati, menuruti, tangan kanan beliau memegang pena, melakari , menjalani tulisan demi tulisan tanpa lelah , tanpa jemu.
Sesungguhnya Allah s.w.t telah menganugerahi kepada Al-Sayuthi kekuatan ingatan , hafalan dan telah dibekalkan dengan kesabaran dalam pembelajaran . Perhatikanlah, beliau telah hafal al Quran padahal umurnya tidak sampai 8 tahun. Selepasnya menghafal pula kitab "al-Tanbih"- Imam Abi Ishaq al Sairazi, kemudiannya menghafal pula " Tahzib al-Furu' - Imam Baghawi , kemudiannya menghafal pula " Rawdhah al-Tholibin" - Imam Nawawi - 10 jilid !!!!, dan kemudiannya menghafal pula " Umdatul Ahkam"- al- Muqaddasi - matan hadis, kemudiannya lagi menghafal pula " Minhajul Usul " - al-Baidhawi " - ilmu usul fiqh, dan "al-Fiyah" - Ibnu Malik-ilmu Nahwu, padahal ketika belum lagi bergelar ulamak, ustaz maupun sheikh?..
Ini semua berlaku ditahap awal umur beliau, merupakan pesediaan untuk menghadapi medan ilmu yang sangat luas dan dalam. Terbukti dan ternyata "persediaan" beliau terserlah , apabila hadir dimajlis para ulamak , beliau menyebut semua hafalannya dari kitab kitab tersebut... kemampuannya memeranjatkan....
Maka tahap "persediaan" telah dilaluinya dengan cemerlang , sementara tahap kedua iaitu "menadah" , "duduk didalam halaqah-halaqah pengajian Ilmu" dan "bertalaqqi" ilmu dari para ulamak - Ini perkara yang tidak dapat tidak mesti dilalui untuk menghasilkan ilmu yang sebenar... juga telah dilalui beliau dengan sebaik-baiknya.Sesungguhnya para ulamak telah menganggap "hari-hari" yang sangat berharga sebagai suatu "Fardhu" kewajipan untuk melalui tahap kedua ini, bagi setiap mereka yang mahu mencapai kemuliaan "Ilmu" dengan title "al-Alim" "al-Ustaz" , "al-Allamah" , "al-sheikh" dan sebagainya..Mengapakah tidak begitu?, memang akan begitulah syaratnya, sebab kitab-kitab dan buku-buku merupakan benda-benda yang bisu yang tidak akan berbicara melainkan dimajlis para ulamak, dengan isyarat dan pencerahan dari mereka.Merekalah yang akan mengerak-gerakkan huruf-hurufnya. Akan memancarkan khazanah-khazanah gedung pengetahuan dari dasar lautannya. Seseorang penuntut itu hanya akan bertemankan buku-bukunya saja, itulah saja yang mampu dibuatnya jika tidak mengikut aturan-aturan ILMU .Ilmu adalah AGAMA, maka perhatikanlah darimana diperolehi agama kita..
Guru-guru Imam Sayuthi.
Pada tahun 864 h , al-Sayuthi mula bertalaqqi ilmu dari para Sheikh . Tidak ada seorangpun yang pernah beliau kenali melainkan beliau akan mengadapnya , bermulazamah dengan sungguh-sungguh dan dalam masa yang lama . Beliau akan mendapatkan intisari ilmu yang ada pada setiap sheikh tersebut. Guru-guru yang sangat ramai menjangkau 150 orang, mereka telah meninggalkan kesan yang mendalam pada peribadi al-Sayuthi. Jika dihimpunkan pula dengan guru-guru yang hanya mengijazahkan sanad-sanad dan sebagainya maka berjumlah 600 orang. Bertuah Sungguh al-Sayuthi, guru terawal yang mengasuhnya adalah Al-Allamah al Muhaqiq Kamal bin Humam- pengarang kitab Fathul Qoder Syarah Hidayah- Fiqah Mazhab Hanafi, kitab rujukan Fiqh Hanafi.
Kemudian berguru pula kepada Sheikhul Islam, Qodhiul Qudhah al-Imam Al-Bulqini- al Sayuthi telah belajar dengan Sheikh ini dari tahun 865-868 h. Imam Bulqini ini telah mengijazahkan keizinan mengajar dan berfatwa kepada al-Sayuthi pada tahun 867 h.Kemudian berguru pula kepada Al-Shulthan Al Hanafi- Shamsuddin Al-Hanafi - yang terkenal dengan kesolehan, uzlah , tumpuan ibadah dan mengajar. Al- Syauthi belajar kitab-kitab Lughah dan Akidah daripada beliau ini. Kemudian berguru pula kepada Sheikh Syarafuddin Yahya Al-Manawi.- Al Sayuthi telah mulazamah dengan Sheikh ini selepas kewafatan al Bulqini tahun 868 h. Sheikh ini adalah guru Fiqah dan Ilmu-ilmu Syariat al Sayuthi.
Berguru kepada Imam Taqiyuddin Yahya bin Muhammad al-Syumuni.- Melazimi Sheikh ini selama 4 tahun bermula tahun 868 h , dan telah mengambil/belajar darinya ilmu hadis riwayah dan dirayah . Merupakan Sheikh yang teragung dalam Ilmu Arabiyah dan ilmu ma'ani. Berguru pula kepada Al Allamah Mahyuddin al-Kafiiji- telah belajar al-Sayuthi kepada mahaguru ini selama 14 tahun . Kepada mahaguru ini al-Sayuthi telah melaziminya dalam masa yang sangat lama. al Sayuthi telah belajar dari mahaguru ini Ilmu Tafsir, Ilmu Usul, Nahwu dan semua pelajaran Bahasa Arab. Mahaguru ini telah mencatitkan Ijazah besar kepada al-Sayuthi untuk mengajar semua matapelajaran .al-ٍٍSayuthi mengisahkan saat-saat pembelajaran beliau: " Rutin setiap minggu ,daku setiap lepas subuh hadir kemajlis Imam Bulqini, sehingga hampir waktu Zuhur. Kemudian sehingga hampir masuk waktu Asar daku kemajlis Imam al-Syamuni - keadaan begini berlaku selama tiga hari : hari sabtu, isnin dan khamis. Manakala hari ahad dan selasa pula daku hadir kemajlis Sheikh Saifuddin al-hanafi pada awal pagi. Manakala selepas zuhurnya pula pada dua hari ini dan hari rabu, daku hadir kemajlis al sheikh Muhyuddin al Kaafiiji"
http://pondoktampin.blogspot.com/2007/12/rehlah-ilmiah-imam-sayuthi-ra.html
No comments:
Post a Comment