Bacaan al-Qur`an untuk orang mati, sampaikah pahalanya atau tidak?
Petikan dari Majalah al-Hadaf TERBITAN JABATAN MUFTI KERAJAAN NEGARA
Bersempena dengan Sambutan Nuzul Al-Qur’an tahun 1422 Hijriah, rancangan “Bersama Mufti” yang disiarkan melalui Televisyen Brunei telah memuatkan wawancara eksklusif Awang Haji Mohidin bin Haji Mustapha dengan Yang Dimuliakan Lagi Dihormati Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan, mengenai perkara yang sedang banyak diperkatakan orang iaitu tentang amalan orang hidup seperti membaca al-Qur’an, bertahlil dan lain-lain, adakah sampai manfaatnya kepada orang yang telah mati? Ikutilah wawancara ini.
Penemuramah: Yang Dimuliakan Lagi Dihormati Pehin, baru-baru ini tersebar sebuah buku terbitan luar negeri berjudul: Hukum Membaca al-Qur’an Untuk Orang Mati, Sampaikah Pahalanya Kepada Mereka? Menurut buku ini, perkara itu adalah bid’ah dan tidak ada manfaat kepada yang mati. Apakah ulasan Pehin mengenainya?
Pehin Mufti: Buku itu sebenarnya berasal daripada bahasa Arab:
حكم القراءات للأموات هل يصل ثوابها إليهم؟
Mula-mula biarlah saya tegaskan dulu, bahawa buku ini bukan buku mu‘tabar. Hujjah-hujjahnya juga tidak muktamad. Ia masih berupa satu pendapat di antara banyak lagi pendapat-pendapat lain daripada ulama-ulama. Kita tidak usahlah terlalu gelabah dengan pendapat serupa ini.
Penemuramah: Tetapi Pehin, buku ini juga menyebut tentang Imam Syafi’e sendiri telah menolak dengan keras pendapat yang pahala bacaan al-Qur’an itu sampai kepada si mati?
Pehin Mufti: Awalnya begitu. Tetapi dalil yang dipakai oleh Imam Syafi’e adalah juga dipakai oleh imam-imam lain untuk membenarkan pendapat: Bahawa pahala bacaan al-Qur’an itu sampai kepada si mati. Nanti akan saya sebutkan lagi perkara ini kemudian. Bercakap mengenai Imam Syafi’e Rahimahullah, kita jangan lupa bahawa beliau itu memiliki dua asas pendapat: Satu dinamakan qaul qadim (lama) dan kedua qaul jadid (baru). Ini sangat penting, jangan diabaikan. Barangkali juga pada mulanya beliau berpendapat tidak sampai, tetapi pendapat itu berubah kemudian menjadi sebaliknya. Perkara ini dapat kita kesan daripada pengakuan az-Za’farani katanya: “Saya pernah bertanya kepada Imam asy-Syafi’e mengenai bacaan al-Qur’an di kubur. Ternyata beliau itu (asy-Syafi’e) adalah membolehkannya.” Demikian juga kenyataan Imam An-Nawawi di dalam Syarah al-Muhazzab “Disunatkan bagi orang yang ziarah kubur itu membaca ayat-ayat al-Qur’an yang mudah-mudah baginya dan mendoakan mereka setelah membaca itu. Perkara ini adalah dinashkan oleh Imam asy-Syafi’e.” Lebih lanjut beliau menambah: “Jika mereka mengkhatamkannya, itu adalah lebih afdhal lagi.” Imam Ahmad bin Hanbal juga pada mulanya menolak pendapat ini kerana menganggap tidak ada nash, tetapi menerimanya kemudian setelah mendapati terdapat dasar mengenai-nya. asy-Sya’bi pula berkata: “Jika seorang daripada kaum Ansar meninggal dunia, mereka akan pulang dan pergi semula ke kuburnya untuk membaca al-Qur’an baginya.” Jadi, semua ini berlaku, dibuat oleh umat Islam dan ulama-ulama Islam serta tersebut di dalam kitab-kitab Islam.
Penemuramah: Berbalik kepada dalil yang digunakan oleh ulama-ulama bagi menolak yang bacaan al-Qur’an di kubur itu sampai kepada orang mati, dapatkah Pehin huraikan?
Pehin Mufti: Ya, asy-Syafi’e sendiri dikatakan berdalil dengan ayat 39 daripada surah an-Najm
وَأَن لَّيْسَ لِلإِنسَانِ إِلاَّ مَا سَعَىٰ
Tafsirnya : “Dan bahawasanya bagi seorang manusia itu hanyalah apa yang diusahakannya.” Tetapi ulama-ulama yang lain juga memakai ayat yang sama ini untuk membuktikan bahawa bacaan al-Qur’an itu adalah sampai pahalanya kepada orang mati, iaitu dengan beberapa alasan, di antaranya: i) Bahawa ayat ini adalah khusus bagi kaum Nabi Ibrahim dan Nabi Musa ‘Alaihimassalam, sedangkan bagi umat Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam adalah diberikan kelebihan akan memperolehi apa yang diusahakan-nya dan juga yang diusahakan oleh orang lain untuknya. ii) Yang dimaksudkan dengan “الإِنسَانِ ” (Seorang manusia) dalam ayat ini ialah orang kafir. Sedangkan bagi orang mukmin akan tetap mendapat apa yang diusahakannya dan juga yang diusahakan oleh orang lain untuknya. iii) Huruf “Lam” pada perkataan “lil-insan” di dalam ayat ini berfungsi atau bererti sebagai “على” sesuai dengan qiyas atau analogi pada doa-doa, sedekah, puasa, haji dan lain-lain. Lalu menurut pendapat ini, tidaklah ada bezanya di antara pemindahan pahala haji, sedekah, wakaf dan doa dengan bacaan al-Qur’an itu. Demikian menurut al-Hafiz Syamsuddin bin Abdul Wahid al-Maqdisi al-Hanbali. Al-Qurtubi telah menukil, bahawa asy-Syeikh ‘Izzuddin bin Abdussalam telah mengeluarkan fatwa bahawa pahala bacaan al-Qur’an itu tidak sampai kepada orang mati. Ketika dia telah meninggal dunia, sebahagian sahabatnya bermimpi bertemu dengannya. Mereka bertanya kepadanya: “Wahai ‘Izzuddin, Tuan telah berfatwa bahawa pahala bacaan al-Qur’an tidak sampai kepada orang yang telah meninggal dunia. Lalu bagaimanakah Tuan telah menyaksikan perkara itu?” ‘Izzuddin menjawab: “Saya mengatakan perkara itu ketika masih di dunia, tetapi sekarang saya sudah meninggalkannya. Saya telah menyaksikan adanya kemurahan Allah Ta’ala dalam perkara ini, yakni pahala itu memang sampai kepada orang yang telah meninggal dunia.” Terdapat hadis Nabi sallallahu alaihi wasallam riwayat Abu Daud:
اقراوا يس على موتاكم
Maksudnya: “Bacalah surah Yâsîn untuk si mati kamu.” Berkata al-Qurtubi mengenai hadis ini: “Ia adalah mencakupi bacaan ketika orang akan mati dan juga bacaan di kuburnya.” Selain sandaran daripada ayat al-Qur’an dan hadis, terdapat juga riwayat-riwayat daripada orang-orang salih mengenai hal ehwal orang-orang mati melalui mimpi-mimpi mereka yang bagus. Maksud saya dengan mimpi-mimpi yang bagus itu ialah yang boleh menjadi pengajaran kepada kita yang masih hidup ini.
Di antaranya pernah dinukil oleh al-Qadhi Abu Bakar bin Abdul Baqi Al-Ansari suatu riwayat daripada Salmah Bin ‘Ubaid yang menceritakan: Bahawa Hammad al-Makki pernah berkata: “Pada suatu malam, saya pernah pergi ke beberapa kuburan di Makkah. Lalu saya meletakkan kepala saya di atas suatu kubur sehingga saya tertidur. Setelah itu saya pun bermimpi melihat para penghuni kubur duduk berkeliling membuat bulatan, saya bertanya: “Apakah kiamat sudah tiba?” Mereka menjawab: “Tidak! Hanya sanya, ada seorang daripada saudara kami yang membaca surah al-Ikhlas dan memberikan pahalanya kepada kami.”
Penemuramah: Pehin telah menyebutkan beberapa contoh cerita orang-orang yang hidup bermimpikan orang-orang yang telah mati. Apakah tanggapan agama mengenai cerita-cerita seperti ini?
Pehin Mufti: Itu baru satu dua yang saya sebut. Banyak lagi jika dikutip daripada kitab-kitab. Benar, orang hidup tidak dapat lagi bertemu dengan orang yang sudah meninggal secara fizikal. Tetapi roh-roh mereka masih saja boleh bertemu antara satu sama lain melalui mimpi. Keterangan mengenai perkara ini bolehlah dilihat di dalam kitab- kitab, seperti kitab ar-Rûh karangan Ibnu al-Qayyim al-Jauziyah, Syarh as-Shudur Bisyarhi Ahwal al-Mauta wal-Qubur karangan as-Suyuthi dan lain-lain. Ulama-ulama tidak mencuaikan mimpi-mimpi yang bagus yang berlaku di kalangan orang-orang salih. Mereka mengabadikannya di dalam tulisan-tulisan/kitab-kitab untuk dibaca oleh umat Islam sebagai pengajaran. Mereka sangat faham akan nilai mimpi itu, berdasarkan hadis:
رؤيا الأنبياء و الصالحين صحيحة – او كما قال
“Mimpi para Nabi dan orang-orang salih itu adalah betul”
Penemuramah: Kebetulan kita sekarang berada di dalam bulan Ramadhan dan akan menjelang hari raya. Biasanya, pada masa ini akan berduyun-duyunlah umat Islam membuat kunjungan atau berziarah ke kubur-kubur sanak-saudara mereka. Apakah kelebihan menziarahi kubur itu?
Pehin Mufti: Ziarah kubur telahpun menjadi syari’at. Ia adalah sunnah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam. Baginya ada adab atau peraturan tertentu, di antaranya ialah dengan memberi salam kepada ahli kubur oleh orang-orang yang berziarah, seperti :
السلام عليكم أهل الديار من المؤمنين والمسلمين وإنا إن شآء الله بكم لاحقون أنتم لنا فرط ونحن لكم تبع نسأل الله لنا ولكم العافية
“Selamat sejahtera atas kamu, wahai ahli kubur, daripada kalangan kaum mukmin dan muslim, kami Insyâ Allah akan menyusuli kamu. Kamu telahpun mendahuli kami, kami pula akan mengikut kamu. Kami mohon kepada Allah akan kesejahteraan untuk kami sendiri dan untuk kamu juga.” (Hadis Bukhari, Muslim dan lainnya).
Penemuramah: Adakah orang mati itu mendengar dan menjawab salam daripada orang yang berziarah itu?
Pehin Mufti: Bersandarkan hadis - Ya! Salah satu ialah hadis Abu Hurairah riwayat Ibnu Abi Ad-Dunya dan al-Baihaqi, bermaksud: “Jika seseorang melintasi kubur orang yang dikenalnya, lalu dia mengucapkan salam, nescaya penghuni kubur itu akan menjawab salamnya itu dan bahkan mengetahui kehadirannya. Jika orang yang tidak dikenalinya, lalu dia mengucapkan salam, nescaya penghuni kubur itu pun juga akan menjawab salamnya itu.”
Hadis lain, daripada Aisyah radhiallahu anha, Nabi sallallahu alaihi wasallam bersabda, maksudnya: “Tidaklah seseorang itu ziarah kubur saudaranya dan duduk di sisinya, melainkan saudara yang telah meninggal itu akan menyambut dan menjawab salamnya sehingga dia berdiri.” Bagaimanapun, kita orang hidup tidaklah dapat mendengar suara jawapan daripada mereka itu, atau mengetahui bagaimana keadaan mereka. Namun begitu, tidaklah pula mustahil bagi orang-orang yang diberikan kelebihan oleh Allah, akan ada yang mendengarnya. Seperti al-Baihaqi pernah meriwayatkan daripada Abu Abdullah al-Hafiz, yang diterimanya daripada Abu ‘Ali Hamzah bin Muhammad al-‘Alawi, dia bercerita: “Ayahku pernah mengajak aku pergi ke Madinah untuk mengunjungi kubur para syuhada pada hari Jumaat, pada waktu di antara terbit fajar dengan terbit mata-hari. Aku berjalan di belakang ayah. Ketika sampai di kubur mereka, ayahku memberi salam dengan suara lantang:
سلـم عليكم بما صبرتم فنعم عقبى الدر
Ertinya: “Selamat sejahtera atas kamu, berkat kesabaran kamu. Alangkah baiknya tempat kesudahan itu.” Tiba-tiba terdengar jawapan berbunyi: “Keselamatan juga bagi kamu, wahai Abdullah.” Ayahku lalu menoleh kepadaku dan bertanya: “Apakah engkau yang menjawab tadi?” “Tidak!” jawabku. Kemudian ayahku menarik tanganku dan menempatkanku di sebelah kanannya. Dia lalu mengucapkan salam lagi kepada mereka, dan setiap salam yang diucapkannya itu dibalas, sehinggalah tiga kali diulangnya. Oleh itu, ayahku lalu sujud bersyukur kepada Allah Subhanahu Wata’ala. (Dipetik cerita ini daripada kitab Syarh as-Shudur Bisyarhi Ahwal al-Mautâ wa-al-Qubûr)
Penemuramah: Selain daripada orang hidup mendapat manfaat berupa pahala kerana ziarahnya itu, apakah orang mati juga mendapat manfaat yang sama?
Pehin Mufti: Sudah tentulah begitu. Bukankah “Salam” tadi mendoakan kesejahteraan ke atas ahli kubur? Bahkan ianya melebihi lagi jika diiringi pula dengan bacaan ayat al-Qur’an, zikir, doa dan sedekah untuk mayat. Jika kita ambil perkhabaran daripada orang-orang salih, maka ahli kubur itu seakan-akan seperti kita yang hidup ini juga: berhajatkan pemedulian.
Jika terdapat pendapat yang melarangnya atau tidak menggalak-kannya, maka tidak syak lagi pendapat itu datangnya daripada orang-orang ganjil. Berkata ulama:
من تتبع شواذ العلماء ضل
“Barang siapa mengikut /mencari-cari pemikiran ulama’ yang ganjil dia sesat”. Kata ulama lagi:
من حمل الشاذ حمل شرا كبيرا
“Barangsiapa membawa perkara ganjil, maka dia telah membawa kejahatan besar”.
Blog Abu Zahrah al-Fanshuri
No comments:
Post a Comment