Thursday, April 17, 2008

Keterlaluan Anggap Maulidur Rasul Bidaah


Prof. Madya Dr. Ahmad Zaki Berahim @ Ibrahim.

Ketokohan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai pesuruh Allah bukan sahaja diiktiraf dan diakui oleh umat Islam. Dalam sebuah buku In The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History, Michael Hart menyenaraikan baginda di kedudukan pertama senarai tersebut.

Katanya, Nabi Muhammad adalah satu-satunya manusia yang amat berjaya dalam kehidupan dunia dan akhirat.

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto, MOHD. SHARIFUL HAFIZAL menemu bual Ketua Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Ahmad Zaki Berahim @ Ibrahim bagi membicarakan sirah Rasulullah ini.

MEGA: Setiap tahun kita menyambut Maulidur Rasul pada 12 Rabiulawal. Apakah cara terbaik menyambut majlis ini?

DR. AHMAD ZAKI: Tarikh 12 Rabiulawal hampir disepakati oleh ilmuwan dan sejarawan Islam sebagai tarikh kelahiran Rasulullah s.a.w.

Perayaan pertama dalam Islam ialah Aidilfitri dan Aidiladha di mana kita disunatkan memperbanyakkan takbir dan tahmid kepada Allah.

Perayaan kedua ialah yang dibentuk dan lahir kemudian di kalangan pemimpin masyarakat. Ia mengambil sempena peristiwa penting dalam sejarah kehidupan Rasulullah. Tergolong dalam kelompok ini diwakili oleh perayaan seperti hijratur rasul dan Maulidur Rasul.

Cara terbaik menyambut Maulidur Rasul ialah menjadikan kisah sejarah baginda sebagai iktibar dan diaplikasi dalam kehidupan seharian. Dengan kata lain, menjadikan Rasulullah sebagai idola yang diteladani oleh setiap umatnya.

Dalam masa yang sama, kita perlu mempamerkan keindahan dan kebaikan Islam melalui aktiviti kemasyarakatan seharian dengan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.

seterusnya

3 comments:

Gagasan Ulama said...

MEMAHAMI sirah (sejarah hidup) Rasulullah S.A.W bermakna memahami Islam itu sendiri kerana kehidupan Nabi Allah yang terakhir adalah contoh kehidupan dari segala aspek ajaran Islam.

Bahkan Nabi sendiri digelar sebagai al-Quran hidup.

Hal ini telah ditegaskan oleh isterinya Aisyah r.a bahawa akhlak Rasulullah S.A.W itu adalah al-Quran. Sekiranya umat Islam dapat memahami dan menghayati isi kandungan al-Quran maka itulah sebenarnya gambaran peribadi Rasulullah S.A.W.

Hari kelahiran Baginda S.A.W dikira hari bersejarah untuk dikenangi, kerana Rasulullah S.A.W itu sendiri adalah rahmat sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Tiada Kami utuskan engkau melainkan sebagai rahmat ke seluruh alam semesta.” (Surah Al-Anbiya ayat 107).

Maka kalau Muhammad S.A.W itu disebut sebagai rahmat bagi seluruh alam, dengan sendirinya manfaat serta hikmah kehadiran Baginda tidak hanya dinikmati oleh orang-orang yang beriman. Tetapi bahawa diakui atau tidak beliau juga membawa rahmat bagi seluruh umat manusia.

Bagaimana rapatnya hubungan antara Rasulullah S.A.W dengan al-Quran sebagai petunjuk dan penawar serta hubungan dengan Allah S.W.T. Inilah hakikat Islam yang sebenar di mana ia tidak pernah memisahkan antara tiga perkara tersebut.

Apa yang diharapkan kecintaan kita kepada Rasulullah S.A.W akan membawa kita mengamalkan isi ajaran al-Quran yang tidak lain dari diri dan budi pekerti Rasulullah sendiri. Rasulullah S.A.W juga adalah lambang kebesaran agama Allah S.W.T. Ini dinyatakan dalam firman Allah yang bermaksud: “Siapa yang membesarkan lambang kebesaran (agama) Allah maka itulah (lahir) dari hati yang bertakwa.” (Surah Al-Hajj, ayat 32).

Bukankah Rasulullah S.A.W itu sebesar-besar lambang kemuliaan agama Islam dan hari kelahirannya itu, adalah hari yang penuh bersejarah. Ingatilah sejarahnya dan marilah kita berselawat kepadanya dan berkorban untuk membela agamanya.

Banyak riwayat hadis menyebutkan bahawa seluruh makhluk mengucapkan selawat kepada Nabi Muhammad S.A.W dan keluarga Baginda. Dalam perjalanan Israk dan Mikraj, Nabi Muhammad S.A.W berhenti di Baitulmaqdis melakukan solat dan berjemaah dengan semua nabi dan rasul. Nabi S.A.W sebagai imam. Pertemuan tersebut dimulai dan diakhiri dengan menyampaikan selawat kepada Baginda sebagai tanda penghormatan tertinggi yang diberikan Allah S.W.T kepada Nabi Muhammad S.A.W.

Ketika Allah S.W.T mewajibkan umat manusia untuk mencintai Nabi Muhammad S.A.W, arahan tersebut jelas bukan satu perintah tanpa tujuan. Namun begitu, tujuan tersebut juga bukan sesuatu yang kepentingannya akan kembali kepada Allah atau Rasul-Nya. Dengan demikian, mencintai Rasulullah S.A.W adalah satu perintah yang manfaatnya semata-mata untuk kepentingan manusia itu sendiri.

Mencintai

Di antara manfaatnya, kita merasakan akan terpaut hati ini kepada peribadi Nabi Muhammad S.A.W. Apabila kita jujur dalam mencintai Nabi Muhammad S.A.W, maka akan terbit kerinduan terhadap Baginda.

Hal demikian ini, akan membawa kita untuk mengetahui secara mendalam tentang diri Baginda yang mencakupi aspek kehidupan peribadi, keluarga, hubungan sesama Muslim dan sebagainya.

Justeru itu, apabila kita ingin mengetahui sejarah Nabi Muhammad S.A.W, hendaklah ia dimulai dengan rasa cinta terlebih dahulu. Di sinilah, kita akan mengetahui mengapa Allah S.W.T mewajibkan mencintai Nabi Muhammad S.A.W.

Justeru itu sekalipun terdengar suara sumbang yang mengatakan perayaan menyambut Maulidur Rasul adalah bidaah, namun suara tersebut tidak mendapat tempat di hati kebanyakan umat Islam.

Perbuatan ini semua dilakukan adalah semata-mata untuk menyatakan rasa kecintaan yang mendalam terhadap Rasulullah S.A.W. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud: “Peringatkan mereka dengan hari-hari Allah (yang bersejarah) (Surah Ibrahim ayat 5).

Demikianlah juga hari kelahiran junjungan Nabi S.A.W kita itu, adalah hari yang paling bersejarah bagi umat Islam seluruhnya. Golongan yang melemparkan tuduhan sebagai bidaah sebenarnya dangkal ilmu dan jumud pemikiran. Ternyata suara sumbang itu akan hilang dan lenyap bila kita membaca dan menggali ayat-ayat tadi tentang rahsia pengajaran yang tersembunyi di dalamnya serta hadis-hadis tentang perayaannya.

Panglima Perang Salib Salahuddin Al-Ayubi sendiri menyokong usaha mengadakan perayaan tersebut dan terbukti ia berjaya memulih kembali semangat tentera Islam bersamanya sehingga berjaya merampas kembali kota suci Baitulmuqadis dari tangan tentera musuh.

Dalam merayakan kelahiran Nabi Muhammad S.A.W yang merupakan suatu detik bersejarah dalam peradaban umat manusia, para fuqaha ahli sunah mengkategorikan tradisi perayaan maulid ini sebagai bidaah hasanah. Demikian juga praktik perayaan Maulud di negara kita telah menjadi tradisi yang mengakar dan dihormati serta mendapat dukungan daripada para ulama dan cendekiawan Muslim setempat.

Pada hakikatnya majlis-majlis atau perayaan seumpama ini telah disepakati sebagai bidaah hasanah (pekara-perkara yang baik dan elok) bukan dholalah (sesat) oleh beberapa ulama besar.

Kalaulah pada hari kelahiran setiap bayi itu kita digalakkan mengadakan jamuan dengan menyembelih akikah binatang sebagai tanda kesyukuran, maka tentulah hari kelahiran Rasulullah itu lebih baik lagi untuk umatnya mengadakan jamuan dan melahirkan rasa kegembiraan sebagai tanda kesyukuran atas kelahirannya yang penuh rahmat itu.

Ini ditegaskan oleh Allah S.W.T dalam firman-Nya yang bermaksud: “Katakanlah dengan limpah kemurahan Allah dan rahmat-Nya hendaklah kamu bergembira.” (Surah Yunus ayat 58). Bagaimanapun Rasulullah S.A.W itu tidak lebih dari seorang Rasul (Utusan Tuhan) dan hamba-Nya .

Justeru, mencintai Rasulullah S.A.W menjadi suatu keharusan dalam konteks iman. Ia menjadi prinsip, bukan pilihan suka atau tidak suka. Seorang Muslim perlu menyimpan rasa cinta kepada Nabinya, seberapa kecil sekalipun. Idealnya, mencintai Rasulullah S.A.W lebih daripada segala sesuatu yang ia miliki, bahkan dirinya sekalipun. Dan itulah pada hakikatnya iman yang paling sempurna. Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud: “Tidak beriman seseorang sehingga aku (Nabi) lebih ia cintai daripada dirinya sendiri.”

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0321&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm

ABU ABDILLAH said...

Saya ada belajar sirah sewaktu di Mesir dahulu, yg mana pensyarah kami menyatakan bahawa tarikh kelahiran Nabi adalah diragui oleh para ulama' dan ilmuan. Walaubagaimanapun kata beliau, isu tarikh bukanlah agenda utama mempengaruhi ikatan cinta kita pada Nabi SAW. Cinta pada Nabi SAW. bukanlah ditonjolkan hanya pada hari kelahirannya, tetapi setiap detik waktu adalah menjadi kewajipan kita mencintai baginda SAW. Berbahagialah kita sekiranya kita melaksanakan semua perkara2 yg ditnggalkan oleh baginda SAW dan inilah bukti Cinta yg ssejati dengan mengikuti jejak langkah baginda. Moga petunjuk Allah menyinari kehidupan kita.

ndsap said...

Ya saya bersetuju dengan ABu Abdullah .Cinta kita bukan ditonjolkan hanya pada hari kelahirannya,tetapi setiap detik waktu,ikut segala amalannya tinggalkan apa yang dilarangnya.Ini tidak selepas perarakan terus menyimpang ke kedai nombor ekor,jumpa bomoh untuk menelek apa sakit yang dihadapi,abai solat ada sesetengah hanya solat ketika ada ceramah di surau-surau.