Wednesday, November 28, 2007

Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah


Gambar-gambar di sebelah kiri blog (L-Joofree)ini menunjukkan link kepada beberapa orang daie dan ulamak. Antara yang diletakkan ialah link ke web almarhum Syaikh Abdul Fattah Abu Ghuddah. Untuk mereka yang kurang mengenali beliau, bolehlah klik di gambar tersebut dan membaca di web tersebut.
Ana ada memulakan usaha terjemahan kitab agung beliau yang berjudul "Sofahat Min Sobril Ulamak", atau Lembaran Kesabaran Ulamak. Namun begitu entah bila kitab ini akan selesai diterjemah, wallahu a'lam. :-( Doa-doakanlah ya. Di bawah disertakan sedikit petikan daripada bab biografi Syaikh Abdul Fattah daripada kitab tersebut, yang ditulis oleh anaknya sendiri dan ana selesai terjemahkan.

Sifatnya

Syaikh Abdul Fattah Rahimahullah memiliki terlalu banyak sifat yang mulia. Antaranya ialah kecintaannya kepada kesempurnaan dalam semua urusannya. Beliau amat menghormati tetamu, seorang yang amat berlemah lembut lagi pemaaf. Selain itu beliau sangat beradab dan berakhlak mulia, sangat lembut lisannya serta tidak pernah menyakiti seseorang dengan kata-katanya.

Syaikh Rahimahullah juga sangat cerdas dan pandai memilih kata-kata. Beliau tidak akan melakukan sesuatu melainkan setelah dipertimbangkan secukupnya dan amat cermat lagi teliti dalam setiap urusannya. Beliau juga sangat penyabar dalam ketaatan dan ujian, sangat menjaga solatnya, sentiasa menunaikannya di awal waktu walau ketika penat atau sakit.

Beliau amat rajin membaca Al-Qur’an serta mempunyai wirid yang dibaca setiap pagi di samping amat banyak berzikir dan berwirid. Tidak akan didapati Syaikh duduk tanpa urusan ilmiah, samaada menulis, mengajar, bermuzakarah atau memberi fatwa, melainkan beliau akan bertasbih, bertahmid, bertahlil dan bertakbir.

Syaikh Abdul Fattah Rahimahullah memiliki hati yang sangat lembut, mudah menitiskan air mata, sangat terkesan dengan setiap sesuatu. Air matanya mengalir laju ketika membaca Al-Qur’an dan berzikir, serta membaca kisah-kisah Salafu Solihin, dan ketika mendengar kelemahan dan kesusahan umat Islam, malah ketika beliau dipuji. Beliau sangat pedih atas kelemahan umat ini dan keadaannya, hingga beliau telah kehilangan sebelah pendengarannya apabila diceritakan oleh seseorang berkenaan apa yang menimpa umat Islam di sebuah negara. Beliau amat sedih apabila diceritakan demikian dan tidur pada malamnya dalam keadaan demikian. Apabila bangun dari tidur Syaikh Rahimahullah mendapati darah mengalir daripada telinga kanannya, kemudian sebelah pendengarannya pun hilang.

Beliau telah diuji pula selepas itu dengan penglihatan yang semakin lemah, namun tidak pernah dilihat beliau mengadu atau mengeluh sebaliknya terus bersabar, malah ianya tidak menjadi penghalang baginya meneruskan kerja-kerja ilmiah. Beliau terus mengarang dan mentahqiq kitab, kerana bimbang ajal akan tiba, tetapi beliau tidak dapat mencurahkan ilmu di dadanya. Ketika sakitnya bertambah teruk, beliau tidak pernah mengeluh tetapi ketika terlalu sakit beliau hanya menyebut Ya Allah atau Lailaha Illalallah.

Syaikh Abdul Fattah Rahimahullah sangat mengutamakan ilmu, sentiasa membaca, mentelaah atau menulis. Pena dan kertas sentiasa mendampinginya walau dalam bermusafir mahupun di waktu sakit. Beliau telah mengarang dan menamatkan sebahagian kitabnya dalam perjalanannya yang banyak, malah ada di antaranya ketika beliau sakit, 20 hari sebelum beliau kembali ke Rahmatullah.

Beliau juga amat sedikit tidur. Kedua-dua sifat ini menunjukkan beliau amat menjaga waktunya. Beliau juga tidak akan menyuruh kepada sesuatu melainkan beliau sendiri membuatnya, dan tidak akan melarang sesuatu perkara melainkan beliau sendiri meninggalkannya.

Syaikh Rahimahullah dikurniakan akal fikiran yang amat cerdas dan hafalan yang kuat. Beliau merupakan seorang yang beramal dengan ilmunya, kuat beribadah, bertaqwa, soleh, wara’ lagi tawadhu’.

Semoga Allah memudahkan kita mencontohi akhlak dan peribadi para ulamak dan solihin, kerana mencontohi orang yang mulia adalah suatu kemuliaan. Amiin.

Posted at 06:04 pm by aljoofre

http://www.blogger.com/post-create.g?blogID=4168381958801062139

No comments: