Sunday, November 11, 2007

Tuan Guru Haji Ibrahim Rembau

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

TARIKH 11 Zulhijjah 1325H sehingga 11 Zulhijjah 1425 H genap 100 Tahun Kewafatan Syeikh Ahmad Al-Fathani.

Sempena tarikh tersebut Persatuan Pengkajian Khazanah Klasik Nusantara (Pengkaji) mulai aktif mengadakan sambutan khusus mengenai itu. Dilanjutkan dengan yang ke-101 mulai tarikh 11 Zulhijjah 1426H. Dalam peringatan Tahun Ke-101 Kewafatan Syeikh Ahmad Al-Fathani dilaksanakan empat kali peringatan.

Salah satu di antaranya diadakan di Pondok Ribath, pada Sabtu, 5 Jamadilakhir 1427H/1 Julai 2006 M atas usaha dan kerjasama antara Pengkaji dengan Pondok Ribath, judul perhimpunan haul ialah Sambutan Maulidur Rasul Ribath & Haul 101 Tahun Kewafatan Syeikh Ahmad Al-Fathani Serta Para Ulama Johor di Pondok Ribath, Parit Perupok, Muar, Johor.

Pengasas atau pendiri Pondok Ribath adalah salah seorang murid Tok Kenali. Beliau ialah Tuan Guru Haji Muhammad Lip. Kerana Tuan Guru Haji Muhammad Lip adalah murid Tok Kenali berertilah beliau adalah cucu murid pada Syeikh Ahmad al-Fathani. Demikian halnya dengan Tuan Guru Haji Ibrahim bin Muhammad Dahan di Kampung Bongek Acheh, Rembau, Negeri Sembilan.

Haji Ibrahim bin Muhammad Dahan Rembau juga adalah murid dari beberapa orang murid Syeikh Ahmad al-Fathani, yang gurunya yang terakhir ialah Tok Kenali. Jadi Haji Ibrahim bin Muhammad Dahan di dalam pengajian Islam yang bersanad adalah cucu murid pada Syeikh Ahmad al-Fathani. Oleh itu artikel ini memperkenalkan Haji Ibrahim kampung Bongek Aceh Rembau, Negeri Sembilan

Takrif perkataan bongek

Perkataan ‘bongek’ saya dengar dan ketahui maknanya sejak kecil lagi, kerana sering diucapkan oleh orang-orang yang berasal dari Kampar dan Kuantan (kedua-dua suku kaum itu berasal dari Sumatera, Riau Daratan). Walau bagaimana pun perkataan ‘bongek’ tidak terdapat dalam Kamus Dewan (Edisi Ketiga/Edisi Baru, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, tahun 1997).

Juga tidak terdapat dalam Kamus Besar Bahasa Indonesia, (Edisi Kedua, terbitan Departemen Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia/Balai Pustaka, tahun 1995).

Sungguh pun perkataan ‘bongek’ tidak terdapat dalam kedua-dua kamus yang tersebut, menurut takrif orang tua-tua Melayu (tahun 1950an) ialah ‘perut buncit atau perut besar yang tidak seimbang dengan bentuk tubuh’.

Tanpa saya ketahui rupanya dalam Rembau, Negeri Sembilan terdapat sebuah kampung yang dinamakan Kampung Bongek Acheh. Kemungkinan maksudnya adalah sebuah kampung yang buncit atau besar. Sebelum saya ketahui ada nama kampung seperti tersebut saya baca sebuah artikel tulisan sahabat saya Abdul Razak Mahmud yang dimuat dalam majalah Pengasuh, bilangan 550, Jamadilakhir-Syaaban 1418 H/Oktober-Disember 1997 M, halaman 11, judul Sedikit Tentang Tuan Guru Haji Ibrahim Bongek (1907 - 1997).

Saya tidak sependapat dengan letak perkataan ‘bongek’ pada judul yang diberikan itu, kerana menggambarkan bahawa orang yang bernama Haji Ibrahim itu adalah seorang yang ‘bongek’ atau ‘buncit’. Bagi saya istilah yang digunakan mesti diperbetulkan dengan ‘Haji Ibrahim di Kampung Bongek’. Atau mengikut yang tertulis pada halaman depan karya beliau judul Nur al-Aulad ialah Haji Ibrahim bin Muhammad Dahan Kampung Bongek Rembau. Selanjutnya dalam penulisan artikel ini, digunakan Tuan Guru Haji Ibrahim Rembau saja.

Yang saya maksudkan ini bukan bermaksud menyalahkan sahabat saya itu, tetapi menempatkan nama yang baik untuk Tuan Guru Haji Ibrahim yang menjalankan aktiviti dakwah dan pendidikannya di Kampung Bongek.

Dari segi lain saya sangat menghargai tulisan Abdul Razak Mahmud dalam majalah Pengasuh itu kerana merupakan tulisan yang pertama memperkenalkan ulama di Kampung Bongek tersebut yang tersebar luas kepada umum melalui sebuah majalah.

Hubungan antara guru, murid dan sanad

Setakat ini belum banyak sumber bertulis yang memaparkan riwayat hidup Tuan Guru Haji Ibrahim Rembau. Yang ada di tangan saya, yang dijadikan sebagai rujukan untuk menulis artikel ini ialah: 1 - Sedikit Tentang Tuan Guru Haji Ibrahim Bongek (1907 - 1997) oleh Abdul Razak Mahmud, majalah Pengasuh, bilangan 550.

2 - Kertas Kerja Majlis Sambutan 70 Tahun Madrasah Al-Islamiah Haji Ibrahim Kampung Bongek Acheh, 71300 Rembau, Negeri Sembilan yang disediakan oleh Jawatankuasa Induk Sambutan 70 Tahun Madrasah Al-Islamiah Haji Ibrahim Kampung Bongek Acheh, 71300 Rembau, Negeri Sembilan.

3 - Sekilas Catatan Perjuangan Allahyarham Tuan Guru Hj. Ibrahim Bin Hj. Mohd. Dahan tidak terdapat nama penulis.

4 - Profil Ulama Negeri Sembilan Darul Khusus (Tuan Guru Hj. Ibrahim bin Hj. Mohd. Dahan) tidak terdapat nama penulis.

Daripada sumber-sumber yang tersebut di atas saya proses kembali, saya ringkaskan, saya tafsirkan dan saya hubungkan dengan ulama-ulama yang lain terutama kepada Syeikh Ahmad al-Fathani, iaitu guru pada beberapa orang guru Al-Mukarram Tuan Guru Haji Ibrahim Rembau yang sedang dibicarakan dalam artikel ini.

Nama lengkap, Haji Ibrahim bin Haji Muhammad Dahan bin Hasan. Ibunya pula ialah Lijah binti Muhammad Arsyad. Tuan Guru Haji Ibrahim dilahirkan di Kampung Seri Lemak, Rembau, Negeri Sembilan pada tahun 1325 H/1907M, wafat 29 Rabiulawal 1418 H/3 Ogos 1997M.

Memperhatikan tahun kelahirannya 1325H, bererti bersamaan dengan tahun kewafatan Syeikh Ahmad al-Fathani (wafat 11 Zulhijjah 1325H). Sehingga Zulhijjah 1427H yang baru berlalu, jika kita memperingati 102 Tahun Kewafatan Syeikh Ahmad Al-Fathani bererti kita memperingati 102 Tahun Kelahiran Tuan Guru Haji Ibrahim Rembau. Berertilah sesuatu ilmu Islam yang mungkin dianggap telah mati atau pun dihakis oleh perkembangan zaman perlu kita hidupkan kembali.

Mungkin ada yang beranggapan bahawa tahun yang diberikan adalah secara kebetulan saja. Namun walau bagaimana pun sejarah kebesaran ulama perlu kita tonjolkan. Sekurang-kurangnya ada dua orang ulama dunia Melayu yang cukup terkenal murid Syeikh Ahmad al-Fathani adalah guru bagi Tuan Guru Haji Ibrahim Rembau.

Kedua-dua ulama itu ialah Syeikh Wan Sulaiman bin Wan Shiddiq al-Qad-hi, Syeikh al-Islam Kedah, Darul Aman dan Wali Allah Tuan Guru Haji Muhammad Yusuf bin Ahmad (Tok Kenali).

Abdul Razak Mahmud dalam Pengasuh menyenaraikan nama para guru Tuan Guru Haji Ibrahim Rembau, yang berasal dari Kelantan selain Tok Kenali, mereka ialah Haji Ya’qub Legor, beliau belajar fiqh dan hadis, Haji Saad Kangkung, Haji Ali Pulau Pisang, Haji Wan Musa, beliau belajar tasauf, Haji Umar Sungai Keladi, beliau belajar falak, Haji Abdullah Thahir, Haji Ahmad Hakim, Haji Ya'qub Lorong Gajah Mati, dan Haji Nik Mat Nazhir.

Beberapa orang ulama yang disebut oleh Abdul Razak Mahmud itu adalah murid Syeikh Ahmad al-Fathani dan beberapa orang pula adalah murid Tok Kenali atau bererti cucu murid Syeikh Ahmad al-Fathani. Daripada para ulama yang tersebut bersanad kepada Syeikh Ahmad al-Fathani dan selanjutnya akan naik lebih jauh ke atas, semuanya dengan sanad dan salasilah yang sah. Selain salasilah dan sanad kepada Syeikh Ahmad al-Fathani juga kepada ulama-ulama lainnya.

Sanad keilmuan Tuan Guru Haji Ibrahim Rembau melalui Tok Kenali tentang ilmu nahu, ilmu sharaf, dan ilmu-ilmu Arabiyah lainnya, yang naik kepada Syeikh Ahmad al-Fathani dapat dirujuk kepada kertas kerja saya yang diberi judul Sanad Keilmuan Syeikh Ahmad al-Fathani dan Ulama Di Selangor.

Demikian halnya tentang sanad ilmu akidah atau ilmu tauhid sekiranya Tuan Guru Haji Ibrahim Rembau juga belajar dengan salah seorang murid Syeikh Ahmad al-Fathani sanadnya dapat dirujuk dalam kertas kerja yang sama.

Sanad ilmu-ilmu yang lain, tentang tasauf, sanad Kitab Hikam, Minhaj al-‘Abidin, Ihya ‘Ulum ad-Din, Barzanji, Burdah Bushiri, dan lain-lain, dapat dirujuk dalam kertas kerja Sanad Keilmuan Syeikh Ahmad al-Fathani, Aktiviti Pengajian Pondok Kelantan dan Selangor.

Abdul Razak Mahmud juga menyebut kitab-kitab tasauf yang diajar oleh Tuan Guru Haji Ibrahim Rembau ialah: Minhaj al-Abidin, Hikam Ibnu Atha', ad-Durr an-Nafis, Taj al-Arus dan Siyar as-Salikin. Semua kitab tasauf yang tersebut telah termaktub dalam sanad yang dibicarakan dalam kertas kerja yang tersebut.

Selanjutnya Abdul Razak Mahmud menulis, “Ini tentu saja di samping kitab-kitab fiqh dan akidah yang sangat-sangat diperlukan dan kehidupan individu Muslim seperti Wusyah al-Afrah, Mathla’ al-Badrain, Daqaiq al-Akhbar, Kasyf al-Ghaibiyah, Matn al-Jauharah, dan lain-lain.”

Mengenai sanad ilmu hadis pula dapat dirujuk dalam kertas kerja judul Sanad Keilmuan Syeikh Ahmad al-Fathani dan Ulama di Kelantan.

Walaupun Abdul Razak Mahmud tidak menyebut judul-judul kitab karangan Syeikh Ahmad al-Fathani

namun dari pelbagai informasi yang saya peroleh bahawa kitab-kitab karangan Syeikh Ahmad al-Fathani masih banyak diajar di beberapa tempat di Negeri Sembilan.

Saya yakin Faridah al-Faraid karya Syeikh Ahmad al-Fathani juga diajarkan oleh Tuan Guru Haji Ibrahim Rembau. Sewaktu peringatan Tahun Ke-101 Kewafatan Syeikh Ahmad Al-Fathani di Pondok Ribath, Parit Perupok, Muar, Johor beberapa guru agama dalam Muar meriwayatkan bahawa kitab tauhid yang paling banyak diajarkan di seluruh kawasan Muar (Johor) ialah Faridah al-Faraid.

Ustaz Teungku A. Ramlee bin Amen yang pernah belajar di Aceh, berasal dari Melaka dan mengajar di Pondok Ribath, Muar, meriwayatkan bahawa Faridah al-Faraid juga masih banyak diajar di beberapa tempat di Aceh hinggalah sekarang ini (1427 H/2006 M).

Menurutnya pula ada beberapa ulama Aceh walaupun mempunyai pengetahuan yang luas dalam bidang ilmu akidah dan menguasai kitab-kitab Arabiyah yang besar-besar namun Faridah al-Faraid tetap dijadikan kitab wirid yang mesti diajarkan menjadi pegangan yang utama.

Pada awal tahun 1427 H/2006 M saya mulai mengajar ’Unwan al-Falah karya Syeikh Ahmad al-Fathani di Masjid Al-Hidayah Sentul, Kuala Lumpur. Oleh sebab pengajian tersebut disiarkan beberapa kali dalam Bahagian Agama, Utusan Malaysia, Ustaz Arsyad bin Haji Abdur Rasyid menghubungi Pejabat Pengkaji memberitahu bahawa beliau juga mengajar kitab tersebut di beberapa masjid.

Ustaz Arsyad bin Haji Abdur Rasyid adalah salah seorang murid Tuan Guru Haji Ibrahim Rembau. Di antara masjid yang beliau mengajar kitab ’Unwan al-Falah ialah Masjid Undang Haji Abdul bin Ali, Kampung Tanggai, Johol, juga Kampung Secabang, dan di tempat-tempat lainnya, Negeri Sembilan. Ustaz Arsyad bin Haji Abdur Rasyid juga mengajar kitab ’Unwan al-Falah di Masjid Tanah, Alor Gajah, Melaka.

Pada hari Selasa, 27 Zulhijjah 1427 H/16 Januari 2007 M rombongan jawatankuasa peringatan ini datang menemui saya di pejabat Pengkaji. Ia bagi membincangkan kertas kerja yang akan saya bentangkan.

Ustaz Sofhan bin Abdul Halim memberitahu bahawa beliau juga mengajar 'Unwan al-Falah di Madrasah Aliah Sikamat, Seremban. Ustaz Sofhan bin Abdul Halim juga mengajar Faridah al-Faraid di Masjid Ampangan dan tempat-tempat lain di Negeri Sembilan dalam pengajian yang dikelolanya.

Daripada semua yang saya paparkan jelaslah kitab-kitab ulama silam dunia Melayu terutama dalam konteks ini, karya-karya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Syeikh Muhahmmad Shaghir bin Ismail al-Fathani dan Syeikh Ahmad al-Fathani masih banyak diajarkan orang.

Oleh itu bagi memastikan semua kitab Melayu/Jawi tetap hidup sepanjang zaman perlulah perancangan dan persatuan golongan yang faham akan perkara ini.

Untuk maklumat lanjut mengenai Ulama Nusantara, sila e-mel pertanyaan ke alamat: pengkaji_khazanah@yahoo.com atau hubungi talian 03-6189 7231.

http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt=0219&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm

No comments: