Monday, December 17, 2007

Asy-Syafie - Permata Perundangan Islam

Semenjak dari kecil lagi Imam al-Shafii sudah dididik dengan ajaran al-Quran. Ibu beliau, seorang wanita yang warak, telah membesarkan sendiri Imam al-Shafii dan beliaulah yang bertanggungjawab menanamkan sifat memuliakan adab dan mencintai ilmu.

Dalam pada usianya yang masih muda Imam al-Shafii telah merantau mencari alim ulama bagi menghilangkan dahaganya yang tak pernah habis terhadap ilmu. Pengalaman pertamanya bermula di Madinah, apabila beliau menghadiri suatu majlis di mana Imam Malik membacakan sejumlah ratusan hadis di hadapan pengikutnya. Beliau amat mengagumi kebijaksanaan Imam Malik dan mengeluarkan jarinya lalu ‘menulis’ dengan jari tersebut di atas tapak tangannya. Perbuatan beliau itu telah mencuri perhatian Imam Malik. Selepas mengakhiri khutbahnya itu, beliau telah bertanya Imam al-Shafii berkenaan kelakuannya ‘menulis’ dengan jarinya. Imam al-Shafii menjawab bahawa beliau telah menulis semua hadis-hadis yang diperjelaskan oleh Imam Malik itu tadi semasa khutbahnya. Pada awalnya, Imam Malik mencurigai kesahihan penjelasan Imam al-Shafii itu tadi lalu meminta beliau menunjukkan tapak tangannya. Jelas bahawa tiada satu benda pun yang tertulis di atas tapak tangannya. Imam Malik mula menjadi marah dan tersinggung kerana telah menanggap bahawa si Imam al-Shafii telah mempersendakannya, lalu mengarah supaya Imam al-Shafii meriwayatkan kembali semua yang telah disampaikannya semasa berkhutbah tadi. Imam al-Shafii terus meriwayatkan semula semua yang telah disampaikan oleh Imam Malik tanpa melupakan satu patah perkataan pun yang membuatkan Imam Malik amat kagum terhadap kekuatan ingatan dan kecerdikan Imam al-Shafii yang luar biasa. Beliau seterusnya menjemput Imam al-Shafii supaya tinggal sementara bersamanya di Madinah; jemputan itu diterima dengan penuh rasa gembira.

Dalam masa yang amat singkat Imam al-Shafii telah menghafal kitab Muwatta’ Imam Malik, lantas beliau meneruskan perjalanannya ke Kufah bagi melanjutkan tuntutannya. Di sana beliau bertemu dan menjadi tetamu Imam Muhammad. Mungkin di sinilah dapat dilihat tanda-tanda awal kehebatannya yang kemudiannya melahirkan suatu gagasan pemikiran yang mantap berdasarkan pemikiran qiyasi berkenaan al-Quran dan sunah.

seterusnya

No comments: